Monday, March 14, 2011

Perspektif Akademi Pengajian Melayu UM Perlu Lebih Rasional


Terkilan juga apabila mendengar sikap sekumpulan pelajar Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM) yang baru-baru ini meluahkan kemarahan terhadap Kementerian Pengajian Tinggi berikutan gesaan supaya universiti-universiti tempatan memberikan lebih keutamaan kepada prospek peluang pekerjaan kepada para graduan.

Tiada apa yang perlu dipertikaikan dengan saranan kementerian itu, kerana niatnya hanya untuk membantu menyerlahkan prospek pekerjaan di kalangan lepasan universiti.

Bagaimana pun, amat menghairankan mengapa para pelajar APM itu melihat gesaan tersebut daripada perspektif yang teramat sempit. Mereka beranggapan ia berupa tindakan untuk meminggirkan Bahasa Malaysia.

Tindakan mereka menuntut supaya Naib canselor UM Profesor Datuk Ghauth Jasmon memohon maaf dirasakan keterlaluan dan sebenarnya memalukan. Ia tidak ubah seperti melawan guru yang diberikan mandat untuk memperturunkan sebaik-baiknya ilmu kepada pelajarnya.

Dalam peradaban keilmuan Melayu sejak zaman silam, prinsip hormat kepada guru bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng. Prinsip tersebut juga selari dengan tuntutan agama.

Sekiranya pihak pelajar yang menentukan apa yang perlu diajar dan diutamakan guru atau pensyarah, apakah kaedahnya? Apakah kita hanya bersedia menerima pelajaran yang kita berasa selesa mempelajari?

Lebih tepat lagi, nasihat dan teguran Profesor Ghauth hanya bagi kepentingan pelajar itu sendiri, selain bertujuan membantu menaikkan tahap prestasi UM yang kian merosot.
Oleh yang demikian, mengapa perlu Profesor Ghauth memohon maaf?

Apa yang berlaku di sebalik kontroversi ini apabila Profesor Ghauth menyampaikan amanat kepada satu perhimpunan lebih 2,000 siswa dan siswazah supaya lebih serius dan fokus memperbaiki kemahiran dan penguasaan Bahasa Inggeris.

Maksud nasihat yang diberikan itu sebagai usaha mempertingkatkan prospek pekerjaan para graduan apabila lulus kelak.

Beliau berasa terpanggil untuk memberikan nasihat tersebut sebagai seorang guru yang mengambil berat tentang aspek kecemerlangan pelajarnya.

Ini kerana pelajar APM menghadapi prospek pekerjaan paling rendah berbanding fakulti-fakulti lain dalam jangka masa enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Bagaimana pun, niat murni beliau dibalas dengan kecaman dan desakan supaya mengisytiharkan pendiriannya mengenai Bahasa Melayu.

Seterusnya dengan didorong mentaliti sekawan (herd mentaliti) ada di antara pelajar itu yang sanggup melontarkan komen-komen kurang enak terhadap “mahaguru’ mereka dengan kata-kata seperti ‘biadab dan ‘pengkhianat’ di laman sosial video YouTube.

Pelajar-pelajar terbabit yang masing-masing masih dalam proses mengejar ilmu langsung tidak dapat melihat dan merasakan keprihatinan Profesor Ghauth.

Apakah mereka tidak menyedari betapa pihak majikan kini amat payah menawarkan pekerjaan kepada sebahagian besar lepasan universiti tempatan kerana tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang teramat lemah?

Bukannya majikan sengaja berbuat demikian, tetapi kerana itulah hakikat dan realiti yang perlu dihadapi dunia komersial dalam era globalisasi ini.

Dalam keadaan sebegini tidak hairanlah jika sektor perkhidmatan awam paling diidamkan ramai lepasan universiti tempatan, terutama orang Melayu.

Dengan memasuki perkhidmatan awam, timbul satu lagi dilema apabila disebabkan penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah mereka mendapati sukar menangani tugas harian di sesetengah jabatan.

Dalam pada itu janganlah pula disebabkan kurang penguasaan Bahasa Inggeris, mereka yang terbabit mempromosikan diri sebagai pejuang bangsa dan bahasa. Ini satu tindakan yang hanya membodohkan diri sendiri.

Mempelajari Bahasa Inggeris bukan bererti kita bukan nasionalis atau merendahkan martabat Bahasa Melayu yang tercinta.

No comments: