Thursday, March 17, 2011

Kecuali BN, PR dan Pertubuhan Lain Tidak Diberikan Mandat Oleh Rakyat


Rakyat Malaysia sudah sekian lama disogokkan dengan pelbagai inisiatif yang kononnya teguh berdiri di atas premis kebebasan, demokrasi benar dan liberalisme.

Inisiatif-inisiatif tersebut wujud dalam berbagai-bagai topeng dan manifestasi samar. Antaranya termasuk penubuhan parti Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM), SABM (Saya Anak Bangsa Malaysia), Sahabat Pakatan Rakyat, MyOverseas Vote, BERSIH (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil), Aliran, JUST, Suaram, AIM (Pergerakan Anti-ISA), HIDRAF dan puluhan lagi organisasi di seluruh Malaysia dan seberang laut.

Satu persamaan yang pasti pada kesemua badan ini ialah ketaksuban masing-masing dengan mendabik dada menganggap diri sendiri yang betul.

Persoalannya, betul dari segi apa?

Dengan melaungkan perjuangan keadilan untuk rakyat, ironinya kesemua pertubuhan tersebut tidak pernah mendapat mandat penuh daripada rakyat. Ini termasuk juga persekongkolan yang berteduh di bawah payung Pakatan Rakyat.

Selain keupayaan memenangi negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, payungan gerombolan parti pembangkang itu sebenarnya tidak mewakili suara hati majoriti rakyat di negara ini, walaupun mereka mengambil kepayahan cuba meyakinkan kita kononnya sebahagian besar orang Malaysia berdiri di belakang ‘perjuangan’ mereka.

Setelah menapis dan mengasingkan badan-badan tanpa mandat ini, yang tinggal hanya Barisan Nasional (BN). Dan jika di sorot berdasarkan suara rakyat, hanya BN yang dipilih secara sah, sementara yang lain-lainnya seperti ‘anjing menyalak gunung’ Justeru, kewujudan badan-badan selain BN sebenarnya tidak sah, munafik dan hanya melantik diri sendiri.

Mengupas penstrukturan dan penubuhan MCLM, apa yang paling menyerlah pergerakan itu tidak pernah terpilih oleh sesiapa, dan oleh yang demikian tidak bertanggung jawab kepada sesiapa walaupun pada dasarnya itulah yang dilaungkan mereka.

Di tengah-tengah semua ini apa yang ketara komposisi dan pengaruh masyarakat kelas menengah (middle class). Mereka yang tidak mewakili majoriti rakyat Malaysia merupakan satu-satunya kumpulan yang cuba memperjuangkan konsep masyarakat madani (civil society) yang sudah begitu lama diperjuangkan oleh BN.

Berapa ramai daripada 27 juta orang rakyat Malaysia yang menurunkan tanda tangan memberikan mandat kepada pertubuhan berkenaan memperjuangkan nasib rakyat Malaysia?
Seperti konco-konconya yang lain, MCLM yang cuba digerakkan ‘pejuang’ daripada kumpulan kelas menengah dalam banyak aspek tidak mempunyai kaitan atau pun mewakili suara kumpulan-kumpulan yang dikatakan terpinggir.

Menyentuh pendirian BERSIH, berdasarkan nama pertubuhan itu mungkin ramai yang berpendapat ia betul-betul memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bebas untuk semua rakyat Malaysia. Bagaimana pun, statistik menunjukkan lebih lima juta orang rakyat Malaysia yang layak mengundi tidak mendaftarkan diri untuk mengundi, dan lebih tiga juta orang pengundi berdaftar tidak pula mengundi. Selebihnya, seramai empat juta orang pengundi memilih BN!

Ini bermakna hanya kurang empat juta daripada 27 juta orang rakyat Malaysia ingin melihat proses pilihan raya yang “lebih baik.” Apakah BERSIH boleh mendakwa mewakili kesemua rakyat Malaysia, walhal hanya 14 peratus penduduk negara ini mahukan supaya pembangkang menang, sementara baki 86 peratus lagi tidak berhasrat demikian?

Juga jika dibandingkan, berdasarkan jumlah keahlian PEKIDA (Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia), pertubuhan tersebut lebih relevan dalam usaha mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu. Tidak dapat dinafikan jumlah ahli PEKIDA jauh melebihi bilangan mereka yang menyokong kesemua NGO tanpa mandat yang disebutkan tadi, terutama Pergerakan Anti-ISA (AIM) yang bertujuan menghapuskan ISA.

Dari segi struktur PEKIDA mengamalkan sistem pemilihan demokratik di mana ahli jawatankuasa dipilih secara sah, sementara ahli jawatankuasa AIM pula tidak dipilih secara demokratik kerana badan tersebut tidak mengamalkan sistem pemilihan demokratik.

Dalam pada itu PEKIDA boleh berbangga mewakili para petani, nelayan, buruh ladang dan kumpulan-kumpulan yang terpinggir, berbanding AIM yang bergerak di atas suara hati kumpulan masyarakat kelas menengah.

Oleh yang demikian perjuangan PEKIDA mempertahankan ISA dilihat sebagai lebih sah berbanding usaha AIM yang bermotifkan sebaliknya.


(Artikel ini ditulis dan dipadankan berdasarkan cetusan hati Raja Petra Kamaruddin dalam Malaysia Today)

No comments: