Monday, February 28, 2011

Pluralisme: PAS Terpesong Daripada Landasan Islam Atau Sengaja Untuk Politik?


Oleh Muhamad Irfan (Malaysiaaktif)

Melihat apa yang diperjuangkan PAS hari ini timbul banyak persoalan, terutama apabila melihat tindak tanduk pemimpin-pemimpin parti itu dalam isu-isu membabitkan kepentingan agama dan umat Islam keseluruhannya.

Daripada isu penggunaan kalimah Allah yang masih menjadi pertikaian antara penganut Islam dan Kristian sehinggalah kepada pluralisme agama yang sejak kebelakangan ini menjadi isu besar yang boleh mengganggu gugat keharmonian beragama di negara ini jika tidak ditangani dengan sewajarnya. Pendirian PAS dalam soal ini masih menjadi satu persoalan.

PAS yang sebelum ini lantang mempertahankan apa sahaja serangan ke atas kesucian agama Islam dan perjuangan mereka untuk menubuhkan sebuah negara Islam, kini seolah-olah tersepit dalam perjuangan dan terpaksa mengikut arus perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Walaupun perjuangan PAS bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) sedikit sebanyak telah menghakis jati diri dan maruah, mereka tetap mempertahankannya dengan alasan kerjasama tersebut berlandaskan syarat dan peraturan yang tidak bertentangan dengan kehendak Islam.

Mereka mempertahankan bahawa kerjasama tersebut hanya tertumpu kepada soal dasar, iaitu kerjasama dalam perkara-perkara yang sama tetapi tidak menjalin kerjasama dalam soal-soal yang berbeza kepentingan – tidak boleh memaksa orang Islam untuk mengikut atau menerima perjuangan Pas.

PAS mempertahankan bahawa kerjasama mereka dengan PKR dan DAP masih lagi mengekalkan jati diri dan maruah PAS sebagai sebuah parti Islam dan kerjasama yang mereka jalin itu berbeza sama sekali dengan kerjasama antara UMNO, MCA dan MIC.

Persoalannya, jika PAS mendakwa masih kekal dengan jati diri dan maruah sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, kenapa pemimpin-pemimpinnya berdiam diri dalam isu pluralisme? Tidakkah mereka sedar bahaya pluralisme yang kini mula menyusup masuk di kalangan umat Islam di Malaysia sedangkan ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh mendatangkan kesan daripada segi akidah?

Konsep tersebut jelas bertentangan dengan perjuangan PAS yang sentiasa meletakkan Islam di tempat tertinggi. Dalam soal ini jelas sekali PAS sama ada dalam keadaan sedar atau kerana terpaksa menjaga hati PKR dan DAP, sedikit sebanyak telah mempermainkan orang Melayu dan Islam apabila tidak berani bersuara dalam perkara tersebut.

Di manakah akar umbi perjuangan PAS yang selama ini lebih mementingkan usaha memartabatkan agama Islam dan mengutamakan moral serta akhlak? Kenapa PAS sanggup menukar corak perjuangan dengan mengubah wajah mereka menjadi sebuah parti yang radikal seperti mana sudah sebati dengan rakan-rakan dalam PR?

Jika ada yang menganggap PAS hari ini tidak ubah seperti kuda tunggangan PKR dan DAP, memang ada kebenarannya. PAS hari ini telah dipergunakan oleh PKR dan DAP untuk kepentingan dan cita-cita peribadi pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PAS hari ini diberikan peranan dan tanggungjawab untuk menarik seramai mungkin sokongan orang-orang Melayu setelah tugas mengambil hati orang Cina dan India masing-masing digalas oleh DAP dan PKR.

Yang pasti dalam PR, suara PAS tidak lagi sekuat dan selantang dulu – ketika PAS parti yang benar-benar memperjuangkan Islam. PAS yang satu ketika dulu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa bukti dan berintegriti, kini telah berubah wajah. Imej yang ditampilkan oleh PKR, terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempergunakan bukan sahaja PKR tetapi juga PAS untuk mencapai kepentingan politiknya.

PAS sebenarnya tahu dan menolak konsep pluralisme tetapi oleh kerana ingin mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP, parti itu memilih untuk membisu dalam soal ini. Mustahil pemimpin PAS dan kalangan ulama dalam PAS tidak tahu bahawa Islam tidak boleh menerima konsep tersebut kerana ia jelas meletakkan martabat Islam sama rata dengan lain-lain agama di dunia ini.

Lebih bahaya kerana konsep pluralisme bukan sahaja merendahkan martabat agama Islam apabila meletakkan agama Islam sama rata dengan lain-lain agama tetapi juga mengundang bahaya dari segi akidah.

Implikasi daripada fahaman pluralisme ini ialah setiap agama tidak boleh mendakwa agama mereka sahaja yang benar secara mutlak kerana menurut mereka, setiap agama berkongsi sebahagian daripada kebenaran dan bagi mereka, kebenaran yang mutlak hanya pada ‘hakikat’.

Malah mereka yang berpegang pada fahaman ini mendakwa pluralisme agama adalah jalan penyelesaian terhadap konflik antara agama. Konsep ini sudah lama bertapak di Indonesia dan berkembang sehingga menimbulkan implikasi bukan sahaja dari segi akidah tetapi juga dalam soal keutuhan umat dan sosiopolitik.

Menyentuh soal ini, ideologi memartabatkan Islam yang tidak pernah lekang daripada mulut pemimpin PAS hari ini sudah tercemar akibat pengaruh daripada PKR dan DAP. Ini semata-mata kerana dasar kepentingan politik yang menjurus kepada kesanggupan bersekongkol dengan pihak-pihak yang satu ketika dulu merupakan musuh mereka - musuh yang ditentang dan dilabel dengan macam-macam tuduhan ketika PAS kuat beretorik mengenai Islam dan hasrat menubuhkan negara Islam.

2 comments:

Anonymous said...

pendirian paling nyata...dan lantang....bila depa ni diuji....depa bukan setakat 'gagal' malah 'sesat'....dalam usaha nak dapatkan kuasa....harta....sampai yang terserlah ialah 'keangkuhan' depa....atas pengiktirafan yang depa sendiri nyatakan....'kemuliaan' perjuangan depa yang terjamin dan dijamin oleh makhluk semata....

wallahu'alam...

abu idris said...

Negara Islam adalah Daulah Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang telah runtuh pada tahun 1924.

Lihatlah Blog Ar Rayah World News
http://ibnuyassir.blogspot.com/

Untuk mengetahui perkembagan terkini kebangkitan KHILAFAH.