Wednesday, February 2, 2011

Kekalutan di Mesir: Pemberontakan Demokratik atau Keagamaan?



Apakah sebenarnya yang berlaku di Mesir? Inilah persoalan dalam pemikiran ramai di kalangan rakyat Malaysia ketika ini.

Menurut CIA World Factbook jumlah rakyat negara itu yang kuat berpaut kepada agama dianggarkan 90% (kebanyakannya sunni) dan 10% Kristian Koptik.

Sebagai sebuah negara jiran Israel yang terkenal dengan University Al-Azhar berusia lebih 1,000 tahun itu, apa yang sedang berlaku di sana amat relevan bagi seluruh dunia Islam.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sedar akan hal ini apabila memilih Mesir sebagai lokasi ucapannya pada 2009, 'A New Beginning' di Universiti Kaherah.

Berpandukan fakta tersebut ramai dari kalangan pemerhati dan penganalisis politik barat berpendapat pemberontakan yang berlaku itu mempunyai kaitan intim dengan faktor agama.

Hampir kesemua mereka menuding jari kepada keterlibatan Muslim Brotherhood atau 'Al-Ikhwan' yang berpaksikan fahaman bahawa pertubuhan berkenaan bukan sekadar mengenai agama, tetapi juga cara kehidupan. Ia menyokong tindakan keluar daripada sekularisme dan kembali kepada hukum Al-Quran sebagai asas kemantapan kekeluargaan, masyarakat dan negara.

Oleh itu, mengapa Mesir begitu penting? Mengapa Amerika dikatakan sengaja menyokong pemberontak pro demokrasi, walhal Hosni Mubarak dan Mesir di bawah pemerintahannya setiap tahun mendapat bantuan 'grant' Amerika, selain sebuah lagi negara jiran Israel, iaitu Jordan? Pening juga memikirkan semua ini.

Apakah jawapannya mungkin kerana Al-Ikhwan mendapat sokongan meluas dari kalangan penduduk kelas pertengahan di negara itu, dan ramai anggotanya menguasai sebahagian besar organisasi profesional Mesir.

Oleh yang demikian ramai yang berpendapat pemahaman mengenai Al-Ikhwan penting bagi memahami dasar-dasar dan tindakan Amerika terhadap Mesir selepas pemergian Hosni Mubarak kelak.

Pergerakan Al-Ikhwan, walaupun diharamkan di Mesir, mempunyai rangkaian infrastruktur sosial dan kebajikan yang menawarkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang murah. Dalam apa yang dilihat sebagai pilihan raya-pilihan raya yang tidak adil, pihak pembangkang sering kali memperoleh kemenangan berbanding pihak kerajaan.

Ada juga yang tidak bersetuju tanggapan bahawa peranan Al-Ikhwan signifikan kepada pembangkang memandangkan kepelbagaian campuran bersekutu dan kepimpinan ahli pro-reformasi seperti Mohamed ElBaradei. Beliau berkata dari segi sejarah Islam telah diubah kira 30 hingga 40 tahun selepas Nabi Muhammad SAW wafat.

Perubahan tersebut, dikatakan berlaku berikutan tafsiran yang meletakkan raja atau pemerintah yang hanya bertanggung-jawab kepada Allah. Ia dilihat sebagai interpretasi sangat berguna bagi raja atau pemerintah.

Pandangan ini menyebabkan satu fatwa diumumkan bagi mewajarkan hak membunuh Mohamad Elbaradei oleh sebuah pergerakan konservatif Muslim di negara itu kerana mengecam kerajaan Mesir.

Sebarang pergerakan yang kononnya prodemokrasi di mana-mana negara merupakan sesuatu yang amat menarik bagi Washington, terutama apabila mereka mensasarkan negara seperti Iran, tetapi di kalangan sistem pemerintahan autokratik atau yang dilabel sedemikian, ia merupakan satu masalah besar.

Dalam konteks Mesir, tiada cara bagi negara itu muncul sebagai sebuah pemerintahan demokratik tanpa mengambil kira peranan pergerakan pro Islam dalam proses politik.

Begitu juga bagi lain-lain negara di dunia Arab - satu pengajaran yang perlu diterima oleh Amerika Syarikat di Iraq apabila kumpulan aktivis pro-Islam menguasai kesemua kerajaan yang dipilih secara demokratik selepas pengusiran Saddam Hussein.

Berpandukan kupasan-kupasan ringkas ini mungkin kita dapat merumuskan apa sebenarnya yang berlaku dan dilakukan di Mesir.

2 comments:

Anonymous said...

Dalam interview2 terus kepada pemberontak2 spt yg disiarkan dalam BBC majoriti menyatakan demo nih xde kena mengena atas sebab keagamaan tetapi lebih pada demokrasi tulin bukan kroni yg dorang maukan...sbb tuh dornag nak Mubarak turun...

tia said...

terima kasih dengan infromasi yang diberikan semoga dapat dikupas dengan lebih lanjut, sebuah negara demokrasi yang tiada suara rkayat. pelik