Tuesday, February 15, 2011

Cuba Teka Apa Yang Cuba Dilakukan oleh The Star


Nampaknya akhbar The Star terus berusaha gigih cuba membabitkan orang Islam dengan perayaan Valentine's Day, seolah-olah hendak menjadikannya satu budaya nasional.

Terkini, keluaran akhbar tersebut bertarikh 15 Februari dengan visual lantang di muka surat tiga memaparkan beberapa pasangan warga emas Melayu yang lengkap berkopiah putih dan bertudung labuh merayakan hari itu dalam koc Kereta api Tanah Melayu (KTMB). Mereka digambar menghadiahkan bunga, menyuap makanan ke mulut suami dan berpelukan. Di antara mereka termasuk pasangan cacat penglihatan.

Kita tidak tahu siapakah pasangan orang Islam ini, tetapi senario yang dipaparkan jelas menunjukkan ia sengaja dilakonkan (stage managed) bagi melihatkan subjek merayakan kasih sayang mereka bersempena Valentine’s Day. (Dalam konteks artikel ini Valentine’s Day digunakan sebagai deskripsi hari berkenaan kerana jika diterjemahkan kepada Hari Kekasih, ia sebenarnya lari daripada konteks budaya Melayu dan pegangan Islam yang sebenarnya tidak mempunyai satu hari bagi episod sedemikian.)

Pasangan warga emas itu sebenarnya sebahagian daripada penumpang yang hadir sempena pelancaran pakej Tren Pasangan Cinta 1Malaysia KTMB yang menawarkan diskaun 25 peratus bagi warga emas. Pelancaran pakej tersebut secara kebetulan jatuh pada Valentine’s Day.

Idea siapakah untuk menunjukkan pasangan warga emas Melayu ini sebagai merayakan Valentine’s Day?

Pengurus Pasaran KTMB Mohd Noordin Kimi perlu memberikan penjelasan dalam hal ini. Apa pun motif strategi pemasaran syarikat berkenaan, apa ditonjolkan oleh The Star jelas membawa implikasi kurang sensitif terhadap orang Islam dan Melayu, amnya.

Mungkin akhbar tersebut akan cuba menangkis teguran ini dengan cara memesongkan motif kononnya apa yang dipaparkan amat positif dalam menunjukkan sebuah wajah ‘human interest,’ walaupun hakikat implikasinya kepada pesona Melayu dan Islam ketara terbabas dan memalukan.

Apakah yang tersirat dalam pemikiran sidang pengarang The Star dan pihak pengurusan KTMB hinggakan begitu kurang sensitif terhadap pengaruh liberal barat yang sedang giat dijalankan di negara ini terutama terhadap pegangan orang Melayu Islam?

Untuk apakah The Star membesarkan cerita ini? Mengapa dipilih hanya pasangan warga emas Melayu dalam gambar yang disiarkan? Apakah ia sengaja untuk menyindir atau memalukan?

Orang bukan Islam di Malaysia perlu sedar tujuan Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) bertindak melancarkan operasi membanteras aktiviti haram oleh orang Islam, terutama pada Valentine’s Day adalah sesuatu yang mesti dilakukan, dan ia hanya dilakukan dalam sfera agama Islam. Oleh itu, mengapa harus kaum lain sibuk mencemuh pandangan dan tindakan oleh pihak berkuasa Islam di negara ini?

Apa yang dilakukan oleh JAKIM bukan untuk melarang bukan Islam merayakan hari penting bagi mereka itu atau pun bertujuan menyekat mereka daripada mencari rezeki di atas komersialisme yang jelas mengeksploitasikan Valentine’s Day.

Yang jelas di sini akhbar The Star semakin berani mencabar secara halus bukan saja nasionalisme Melayu, tetapi juga pegangan dan kepercayaan Melayu terhadap lunas-lunas agama.

Juga, malang sekali di pesisir kontroversi ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin turut lantang mengeluarkan kenyataan menyokong persepsi liberal itu. Beliau dengan bangga mendabik dada mengatakan dia sendiri merayakan Valentine’s Day bersama isterinya setiap tahun. Apakah ini sebenarnya taraf Ketua Pemuda UMNO sekarang?

Khairy membuat kenyataan tersebut ketika pelbagai pertubuhan Islam sedang berusaha menerangkan hakikat sebenar dalam tidak menggalakkan orang Islam merayakan Valentine’s Day.

Sebenarnya apa yang tersirat dalam kontroversi ini bukan sama ada orang Melayu boleh atau tidak boleh merayakan satu hari untuk kekasih, tetapi apa yang lebih penting bagaimana persepsi liberal untuk membolos penerimaan amalan pada Valentine’s Day di kalangan orang Islam dijadikan cara menghakis pegangan agama.

Akhbar The Star juga menyiarkan pendapat seorang pembaca yang marahkan orang Islam kerana menganggap hari itu sebagai satu saluran yang boleh mendorong kepada kemaksiatan.

Usaha dakwah di masjid dan sebagainya ialah untuk menyedarkan orang Islam yang terbabas daripada pegangan agama kerana begitu mudah menganggap tindakan merayakan Valentine’s Day sebagai sesuatu yang tidak salah di sisi agama.

Hakikatnya, Valentine’s Day sering kali diterima pakai oleh mereka yang begitu taksub dengannya. Ia dianggap sebagai permit terbuka ‘carte blanche’ untuk menapak ke tahap melakukan zina, minum arak dan pemupukan tanggapan bahawa ia selari dengan apa yang dilakukan oleh sesetengah mereka yang bukan Islam.

Akhbar The Star juga menyiarkan berita mengenai penyebaran risalah anti-Valentine’s Day di kalangan bukan Islam di sebuah Restoran Cina Islam di Taman Melawati, Selangor.

Restoran makanan Cina Islam popular di kalangan orang Melayu dan sesetengah bukan Melayu. Oleh yang demikian apakah isunya dengan tindakan menyebarkan risalah itu sekiranya ia bertujuan menyedarkan orang Islam? Yang bukan Islam seharusnya tidak berasa tergugat dengan risalah tersebut kerana sasarannya bukan mereka!

Mengapa perlu dipolemikkan?

No comments: