Monday, December 27, 2010

Ubah cara penguatkuasaan jalan raya!


Statistik kemalangan jalan raya semakin meningkat.

Banyak faktor yang menyumbang ke arah peningkatan ini, tetapi paling utama ialah sikap pengguna jalan raya DAN sikap pihak penguat kuasa sendiri.

Kumpulan kedua yang dimaksudkan ialah Polis Trafik dan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Di samping itu terdapat juga faktor-faktor lain, termasuk trend negatif yang dibawa pihak pengiklan peralatan kenderaan, terutama syarikat-syarikat pengeluar kereta.

FAKTOR

Apakah mesej yang disampaikan apabila syarikat pengeluar kereta mempromosikan kereta-kereta jenis baru yang tidak dapat tidak sering meletakkan prestasi enjin berkuasa tinggi sebagai daya penarik?

Di samping itu, keghairahan ini terus memacu trend pengguna dengan pelbagai dakwaan keupayaan peralatan sampingan termasuk minyak yang kononnya berkuasa tinggi dan sebagainya.

Berpandukan ciri-ciri tersebut pihak agensi pengiklanan pun terus “spin” produk terbaru itu berdasarkan tenaga enjin, kelajuan dan sebagainya.

Di pihak pembeli dan pengguna yang sebahagian besarnya golongan pasca-remaja, model-model sedemikian tentu sekali menarik dan apabila dimiliki perlu dipergunakan secara optimum. Ini bererti ia harus dipandu laju dan menggunakan sepenuhnya keupayaan enjin pada kereta yang “canggih” itu.

Tenaga enjin dan keupayaan kenderaan yang dipandu akan dimanfaatkan sepenuhnya bila saja ada peluang – bila tiada polis trafik kelihatan di jalan raya.

Tindakan mengubah-suai juga penyumbang utama kemalangan kerana ia mampu mengubah spesifikasi selamat kenderaan.

Faktor ini dipandang ringan hampir semua pihak, hinggakan jika dipantau kita mendapati ia juga dilakukan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa pada kenderaan sendiri mereka!

Di kemuncak semua ini ialah pergandaan statistik kemalangan jalan raya.

Setiap kali berlaku nahas ngeri di jalan raya, setiap kali juga ahli politik, pihak polis trafik, JPR, MIROS dan sebagainya tersentak.

Lantaran itu kedengaranlah pelbagai pengumuman dan kenyataan untuk melaksanakan penguatkuasaan, penyiasatan rapi dan teriakkan supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat.

Habis musim keghairahan ini, sejuklah semula semuanya. Kita mudah lupa – hinggalah berlaku satu lagi kemalangan ngeri.

PENGUATKUASAAN

Keghairahan sementara yang kita sering saksikan termasuk tindakan JPJ meletakkan pegawai dalam bas ekspres untuk perjalanan-perjalanan tertentu pada musim-musim perayaan.

Namun tindakan tersebut yang ketara dua tiga tahun lalu kini lenyap begitu saja.

Di pihak polis trafik pula, sekatan jalan raya sering dilakukan hingga kadangkala di lebuh raya pun diadakan walaupun hakikatnya ia amat berbahaya.

Sekatan jalan raya sama ada oleh JPJ atau polis trafik sebenarnya tidak memberi kesan atau mampu mengurangkan kemalangan jalan raya. Tindakan tersebut sekadar mampu menapis kenderaan yang mempunyai cukai jalan mati atau menangkap penjenayah.

Selepas “road block” pemandu akan memecut kerana melepaskan geram atau kerana menyangka apabila sudah kena sama takkan kena saman lagi.

Oleh yang demikian jelaslah sekatan jalan raya tidak efektif. “Contact” di antara penguat kuasa dengan pengguna jalan raya melalui kaedah road block sesuatu yang sia-sia.

Ia mungkin berkesan dalam usaha membanteras mat rempit.

KAEDAH EFEKTIF


Seperti di kebanyakan negara maju, pendekatan paling berkesan ialah menerusi kaedah “constant presence” di mana pegawai polis trafik sering meronda dan tidak teragak-agak menahan mereka yang melanggar had laju atau memandu kenderaan secara berbahaya.

Kaedah ini memerlukan tahap komitmen yang tinggi. Ia satu-satunya cara berkesan.

Antara pendekatan lain yang boleh membantu termasuk dengan seriusnya menguatkuasakan pemasangan alat had laju (speed limiter) pada bas ekspres atau lori.

Pada masa sekarang paling kerap didengar ialah pemasangan alat GPS. Apalah gunanya GPS jika pihak syarikat tidak mengambil tindakan apabila mendapati sesebuah lori atau bas ekspres tiba terlalu awal, lantaran membuktikan kenderaan berkenaan dipandu terlalu laju?

Satu lagi ialah pengharaman ke atas penggunaan bas dua tingkat. Beberapa orang pakar berkata bas dua tingkat hanya sesuai digunakan di kawasan bandar, tidak berbukit dan tidak dipandu laju.

Di Malaysia ia berleluasa digunakan sebagai ekspres antara bandar raya dan sering kali kelihatan dipandu dengan laju.

Selagi faktor-taktor ini tidak dipandang serius dan penguatkuasaan logik dilakukan, kita akan terus menyaksikan statistik kemalangan ngeri berlaku.

No comments: