Friday, November 19, 2010

Zaid guna taktik Anwar - gempaq!


Persoalan sama ada Datuk Zaid Ibrahim akan keluar dari PKR terjawab pagi tadi apabila beliau mengesahkan spekulasi tersebut.

Bercakap kepada pemberita pada satu sidang akhbar di rumahnya di Tropicana Golf Resort, Petaling Jaya, beliau berkata surat penarikan diri telah dikemukakan kepada parti berkenaan, dan seterusnya beliau berkemungkinan menubuhkan parti baru untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Zaid keputusan tersebut dibuat kerana kecewa dengan PKR dan barisan kepimpinannya. Katanya, segala kepincangan dan ketidaktelusan kepimpinan dalam parti tersebut menghalangnya untuk meneruskan misi berdasarkan komitmennya untuk menjana transformasi politik yang sebenar untuk negara.

Bagaimana pun, beliau berkata penarikan dirinya itu hanya akan berkuatkuasa pada 16 Disember depan, tanpa menjelaskan apa hakikat disebalik tarikh tersebut selain berseloroh berkata ketua de facto PKR Datuk Anwar Ibrahim juga pernah mensasarkan tarikh sama untuk mencantas kesinambungan Barisan Nasional (BN) melalui rancangan lompat parti beramai-ramai oleh ahli-ahli parlimen BN.

Tarikh yang ditetapkan Zaid itu nampaknya bukan melenyapkan isu tersebut, malahan mencetuskan persoalan samada beliau akan turut bersandiwara seperti mana dilakukan oleh Anwar.

Walaupun pengumuman oleh Zaid itu seolah-olah ingin memberi impak kepada kedudukannya dalam kontroversi terbaru yang tercetus dalam pemilihan kepimpinan PKR, namun ia dilihat beberapa penganalisis sebagai satu cubaan kejutan yang tiris.

Ketirisan pendiriannya itu terserlah apabila beliau menegaskan tidak akan memutuskan pertalian dengan Pakatan Rakyat dan terus memelihara persahabatan dengan semua kawan, walaupun sedar betapa parti-parti pembangkang dalam ikatan pembangkang itu mudah mengorbankan prinsip dan ideologi masing-masing hanya untuk ‘menggulingkan’ BN dan menguasai Putrajaya.

Strategi tokoh yang dianggap seperti duri dalam daging dalam persekongkolan Pakatan Rakyat itu tidak banyak memberi kredibiliti kepada langkah terkininya.

Nampaknya apa yang dilakukan oleh Zaid sejak kebelakangan ini akan lebih memberikan impak negatif kepada persona politiknya. Dengan cara memegang kepada strategi ‘populis’ yang kononnya berpaut pada pendirian luhur, apakah beliau merasakan dapat mendaki ke puncak?

Politik partisan yang penuh dengan budaya gelap dan licik dalam bukan saja PKR, malahan juga dalam Pakatan Rakyat tidak memungkinkannya mampu berjuang secara bersendirian.

No comments: