Friday, November 19, 2010

Ramai bekas tentera hidup melarat

Sebahagian bekas perajurit yang menghadiri perhimpunan
raksasa PBTM di Bukit Jalil

Blogger ini terasa benar apa yang dipaparkan oleh bloggger Bujai "Just Read" mengenai nasib ayahnya, seorang bekas perajurit yang pernah berkhidmat di Congo di bawah panji Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)pada tahun 60an.

Walaupun saya sendiri bukan bekas tentera, tidak kurang juga bilangan saudara mara yang pernah berkhidmat dalam tentera.

Awal bulan lalu, saya turut menghadiri perhimpunan bekas tentera dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Bukit Jalil.

Sewaktu di sana saya berkesempatan mendengar pelbagai rungutan mereka yang dipilih ke perhimpunan tersebut.

Ramai yang terkilan kerana mereka ke sana dengan harapan diselitkan sesi bersemuka dengan PM bagi meluahkan secara empat mata apa yang terbuku di hati tanpa perlu melalui orang tengah, iaitu bekas pegawai-pegawai tinggi yang memegang kedudukan eksklusif dalam Persatuan Bekas Tentera Malaysia, PBTM.

Tanpa mengulangi apa yang ditulis oleh Bujai, saya dengan ringkas mengingatkan pucuk pimpinan supaya lebih proaktif menangani jurang komunikasi di antara mereka dan bekas tentera.

Banyak manfaat yang boleh diperolehi sekiranya saranan blogger ini diterima, dan banyak himpunan rasa syukur dan terima kasih daripada wira-wira yang tersisih ini.

No comments: