Tuesday, November 23, 2010




Malaysiakini melaporkan:

“Naib presiden PKR yang baru dilantik Azmin Ali telah berikrar menghapuskan semua “penderhaka” dalam parti tersebut berikutan proses pemilihan parti selama dua bulan yang dipenuhi pelbagai kepincangan hinggakan mencalarkan imej parti di mata ramai.

Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen kelmarin, Azmin berkata proses “pembersihan” akan bermula serta merta selepas kongres kebangsaan parti Ahad depan.”

Dia menggesa seluruh ahli parti membina “prinsip-prinsip kesetiaan” bagi memelihara semangat reformasi dan memastikan tiada lagi terdapat sebarang pengkhianatan dalam PKR.”


Kenyataan Azmin itu dianggap penyokong kuat Pakatan Rakyat di alam siber blogger “Zorro Unmasked” sebagai terlalu angkuh dan takbur. Pendapat yang sama juga dikongsi oleh penyandang timbalan presiden Dr Syed Husin Ali.

Pada hakikatnya, “Zorro Unmasked,” seperti ramai pemerhati PKR dan penganalisis politik kesal dengan sikap bongkak Azmin yang seolah-olah sengaja dibenarkan oleh ketua de facto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan sebab-sebab yang bukan sekadar terhad di gelanggang politik.

Blogger “Zorro Unmasked” berpendapat tindakan pembersihan tidak patut dilaksanakan sewenang-wenangnya sehingga punca sebenar masalah dalam PKR dikenal pasti.

Umum diketahui satu-satunya punca masalah tersebut ialah proses pemilihan yang begitu sangsi hinggakan lebih 160 aduan diterima.

Tanda-tanda masalah yang menghantui parti itu tidak lain persaingan sengit, perbalahan dan tindakan ‘tikam belakang’ sesama sendiri.

Dalam pada itu sebahagian besar ahli PKR berpendapat ketara sekali proses pemilihan seperti yang berlaku telah menyuburkan lapangan untuk membiakkan “penderhaka” dalam barisan kepimpinan PKR.

Di puncak segala-galanya ahli-ahli parti melihat hakikat bahawa kemenangan Azmin bukan kemenangan dalam erti kata sebenar kerana hanya 8 – 10% daripada hampir 400,000 ahli mengundi.

Berdasarkan fakta itu timbul persoalan samada sesuai dilakukan proses pembersihan “pengkhianat” dalam PKR hanya dengan berpandukan statistik itu seperti yang diinginkan oleh Azmin.

Bagi pemerhati dari sebelah sana jurang politik, segala yang berlaku pada PKR sejak kebelakangan ini membuktikan ketidakmatangan parti dan barisan pemimpin yang lebih mementingkan diri sendiri daripada perjuangan parti – itu pun jika benar ada landasan nyata dan rasional yang diperjuangkan sejak penubuhan PKR.

Apa yang terdedah sekarang ialah kegampangan dan bukan kemerosotan parti berikutan pendedahan segala penipuan.

Ramai dalam PKR dan Pakatan Rakyat kini melaungkan ‘sudah tiba masanya untuk diubati penyakit yang menular, dan bukan masa untuk “MEMBUNUH.”

Apa jua tindakan yang diambil pada peringkat ini, realitinya krisis berpanjangan dalam PKR baru bermula dan pasti akan menjadi lebih meruncing di waktu terdekat.

Maka disebabkan sentimen inilah kelmarin terdengar suara-suara daripada aktivis dan penyokong PKR menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya tidak tergopoh-gapah memanggil pilihanraya umum dalam masa yang terdekat kerana kononnya pelbagai masalah negara perlu ditangani terlebih dahulu.

“Nasihat” mereka itu sebenarnya bukan ikhlas kerana masalah sebenarnya yang dihadapi ialah dalam pihak pembangkang sendiri, terutama PKR.

Mereka mahukan supaya dunia berhenti berpusing sementara Anwar dan Azmin merumuskan strategi licik yang lebih ganas untuk seluruh ahli PKR dan Pakatan Rakyat.

No comments: