Monday, August 23, 2010

Masih ingat kaitan Sun Yat Sen, Chandra Bose dan Tanah Melayu?


Merujuk kepada penulisan pengarang kanan akhbar Sin Chew, Tay Tian Yan, ramai lagi blogger Melayu di luar sana yang tidak kurang berasa enak dengan 'sindirannya.'

Dalam tulisannya yang mengupas tentang peranan Nazir Razak dalam industri perbankan tempatan, Tay Tian Yan berkata,"...orang Melayu masih boleh berjaya dan bergerak searus dengan dunia jika mereka bersedia memboloskan diri daripada kepompong "minda kampung."

Rocky (Ahiruddin Atan) dalam blognya berpendapat frasa tersebut tidak kurung jijik berbanding tindakan sesetengah ahli politik menggelar kaum lain sebagai 'pendatang' dan mengingatkan kembali bagaimana ada di antara mereka yang datang ke sini sebagai pelacur, pengemis, penjenayah sambil membawa bersama budaya gelap kumpulan-kumpulan samseng.

Mereka mudah melemparkan tuduhan kononnya Utusan Malaysia sebuah akhbar rasis, walhal mereka sendiri lebih dari itu.

Seperti Rocky, blogger ini juga mengingatkan penulis berkenaan bagaimana orang Melayu kampung bangkit menyokong semangat nasionalisme Melayu yang akhirnya berjaya membebaskan bumi ini daripada cengkaman penjajah, dan sekali gus memberikan tok neneknya taraf KEWARGANEGARAAN! Ini berlaku ketika orang Cina, termasuk nenek moyang Tay sibuk berperang untuk pihak Kuomintang atau Parti Komunis China di sisi Mao Tse Tung sambil menggunakan kekayaan di Tanah Melayu untuk disalurkan ke tanah tumpah darah mereka.

Dan menyentuh tentang hal ini, bukankah dulu Sun Yat Sen pernah lari ke Pulau Pinang untuk mengutip bantuan bagi membiayai usaha pihaknya memerangi Mao? Dari manakah bantuan tersebut diperolehi?...dari bumi ini!

Di satu lagi penjuru senario yang sama dapat dilihat apabila orang India di Tanah Melayu gah menyokong 'perjuangan' Chandra Bose di India walaupun menyedari betapa 'wira' yang mereka sokong itu hanya disuap oleh harimau yang lebih besar, iaitu pihak Nazi Jerman di bawah Hitler. Dan ketika itu tidak kurang juga kita mendapati orang India yang bertungkus lumus bekerja di ladang getah di sini melucutkan barang kemas untuk membiayai 'perjuangan' si Chandra.

Apa yang disuarakan Tay juga tidak berbeza dengan apa yang dilaungkan oleh perusuh Cina dan India di Kuala Lumpur sehari sebelum peristiwa berdarah mei 13, 1969, apabila mereka mengherdik, memaki, dan melaung supaya orang Melayu "balik kampung."

No comments: