Tuesday, June 22, 2010

Kelemahan PKR terdedah kini

Dialih bahasa daripada laman Free Malaysia Today (FMT)


 

Oleh Stephanie Sta Maria, Free Malaysia Today (FMT)


Penyataan jelas Zaid Ibrahim berhubung kelemahan dalam pucuk pimpinan PKR kini mendapat sokongan daripada beberapa penganalisis politik.

Dalam satu wawancara dengan FMT, Zaid mengenal pasti ketiadaan pemimpin berkredibiliti selain menyentuh peranan bukan presiden Anwar Ibrahim sebagai halangan dalam merencanakan hala tuju PKR.

Ahli majlis kepimpinan pusat PKR itu mengaku ini bukan isu baru, tetapi sesuatu yang perlu ditangani segera dalam pemilihan parti pada Disember depan.

"Zaid memang betul mengenai kepimpinan PKR yang begitu nazak, " kata pensyarah Universiti Monash, James Chin. "Kepincangan ini wujud begitu lama tetapi hanya meledak selepas 2008 dengan kemasukan "badut-badut" yang diletakkan sebagai calon dan memang, lantaran menyebabkan kekecohan dalam parti."

"Masalah PKR bukan mengenai sumber tetapi orang yang menguruskan sumber tersebut. Anwar perlu memutuskan tentang struktur kepimpinan dan para pemimpin utama, dan memberikan mereka kuasa untuk melantik orang mereka sendiri."

Sementara itu, kedua-dua Dr. Lim Teck Ghee, Pengarah Pusat Inisiatif Dasar dan penganalisis bebas Khoo Kay Peng bersetuju dengan pendapat Zaid bahawa sudah tiba waktunya bagi Anwar melangkah menduduki tempat Presiden, kerana dia kini ahli politik sepenuh masa.

Khoo, bagaimana pun, memberi amaran supaya PKR jangan terlalu bergantung pada personaliti Anwar, kerana ini akan menyebabkan risiko ideologi mereka dicairkan.

"PKR tidak mampu menjadi sebuah parti berasaskan personaliti, " tegasnya. " Orang ramai semakin berasa sangsi sama ada ia masih mampu menyatukan PKR tanpa Anwar. Apa yang ketara kini, PKR telah menjadi begitu taksub kerana Anwar tidak langsung mempedulikan tentang kepimpinan pelapis'

"Keadaan ini amat berbahaya kerana jika Anwar tidak dapat menjadi Perdana Menteri, siapa lagi yang boleh PKR atau Pakatan anjurkan? Para pengundi memerlukan jaminan bahawa kekuatan parti tidak hanya bergantung pada seorang individu, tidak kira setinggi mana karisma atau inspirasi yang dimilikinya.

Tambah Lim lagi, kini PKR amat perlu bukan saja untuk merasmikan kedudukan Anwar sebagai ketua parti, tetapi juga mengenal pasti segera pemimpin-pemimpin penting lain, terutama untuk jawatan nombor 2.

"Sayang sekali pilihan raya parti tidak didakan lebih awal," katanya. "Masa tidak memihak kepada PKR, dan persepsi terhadap kepimpinan yang berpecah dan berbelah bagi, walaupun tanpa tindakan berpaling tadah yang merugikan, akan menambahkan lagi kerugian sekiranya pilihan raya umum diadakan lebih awal."

Chin menggesa PKR mula mengambil masuk kumpulan pemimpin yang baru secepat mungkin sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum.

"Jika pilihan raya umum diumumkan dalam masa tiga bulan akan datang, pasti PKR dan Pakatan akan mendapati mereka terlambat. Najib pasti akan menang besar kecuali timbul sesuatu skandal dalam BN."

"Walaupun Zaid berasa yakin keupayaan PKR memperbaiki kedudukan, Lim masih berasa sangsi. Dia meramalkan penyokong parti akan bergelut dengan tugas sukar melakukan pembersihan dalaman, sementara sekali gus memilih pemimpin yang berkebolehan dan berdedikasi semasa pemilihan parti akan datang.

"Kita harap kebijaksanaan secara berkumpulan dan tunjuk ajar daripada para pemimpin yang dihormati yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam percaturan kuasa akan dapat memastikan pasukan yang dipilih terdiri daripada sumber sedia ada dalam PKR, " tegasnya lagi. "Tetapi kelemahan paling berbahaya dalam PKR ialah kewujudan hulubalang (war lord) yang bakal menjadi halangan kerana mereka mempunyai pengikut yang ramai."

Pengajaran daripada sebelah sana

Perspektif para penganalisis melangkau apa yang dirasakan Zaid apabila mereka mencadangkan supaya ahli-ahli PKR mendapatkan petunjuk daripada parti asal mereka bagi membina sebuah organisasi yang kuat dan mantap.

"Mungkin payah untuk diterima, tetapi UMNO kini telah menjadi pakar dalam usaha membina sebuah struktur yang kuat, " terang Chin. "Struktur parti tersebut berasaskan penggarisan semula kawasan pilihan raya, di mana dua atau tiga Bahagian diletakkan di bawah kuasa seorang ketua. Walaupun agak luar biasa, ia berkesan semasa pilihan raya. UMNO berfungsi dengan baik kerana peranan ketua-ketua ini berbeza.

'PKR juga perlu menawarkan ahli-ahlinya lebih daripada sekadar harapan. DAP dan PAS menjamin struktur kepimpinan dan insentif yang baik. UMNO, MIC dan MCA menjamin ahli-ahli mereka dengan kuasa untuk melakukan perubahan . Apa yang PKR dapat tawarkan?

Khoo mencadangkan PKR mengambil teladan daripada "landasan profesional yang jelas dan tetap."

"Semua orang sentiasa maklum siapa akan menggantikan siapa, " katanya lagi. "Landasan profesional sedemikian bertindak sebagai panduan bagi seluruh ahli dan penyokong, justeru tiada berlaku kejutan."

Demokrasi: tangan yang menang atau yang kalah?

Hanya yang berbeza dalam pendapat para penganalisis tersebut, bagaimana pun ialah perkara berhubung demokrasi. Zaid dan Lim lebih mengutamakan demokrasi menyeluruh dalam proses pemilihan.

"Apabila pemilihan parti diadakan bagi menentukan norma-norma demokrasi terus utuh dalam memilih pemimpin, pasukan yang dipilih perlu melaksanakan tugas dengan segera untuk menangani isu-isu dalam PKR, " tambah Lim.

Chin, sementara itu mencadangkan PKR jangan mengehadkan amalan demokrasi ketika menjelang pilihan raya umum.

"PKR menjadi mangsa apabila mengamalkan demokrasi secara terlalu meluas, "katanya. "Demokrasi sememangnya baik dan semestinya menjadi lambang sesebuah parti, tetapi bukan ketika parti tersebut sedang menuju pilihan raya, di mana ia akan hanya menyebabkan kekecohan dalaman seperti yang kita lihat dari masa ke semasa.

No comments: