Saturday, July 18, 2009

Apa agenda akhbar Sin Chew?





Kita bersimpati dengan kematian Teoh Beng Hock, tetapi kita tidak begitu mudah menyergah dan melulu mempersalahkan pihak berkuasa. Itu tanda kedewasaan seseorang.

Gesaan ahli politik daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang supaya diadakan suruhanjaya penyiasatan memang wajar. Bagaimanapun, terselit di antara kewarasan dan kekalutan terdapat pihak yang menangguk di air keruh...

Akhbar arus perdana berbahasa Cina Sin Chew Daily tidak berlengah untuk menyiarkan sorotan demi sorotan untuk mengecam secara rambang kerajaan, khususnya MACC.

Kecetekan pegangan kepada etika kewartawanan begitu selari dengan agenda psikologikal dan propaganda pembangkang untuk memburukkan kepimpinan kerajaan dan sekali gus nama Malaysia di mata dunia.

Sin Chew, yang ‘bersenjatakan ‘ komponen siber seperti laman berita online ‘ Sin Chew Online’ diperkasakan lagi oleh persekutuannya dengan rangkaian berita antarabangsa seperti Reuters dan sebagainya.

Dengan berpaut pada elemen-elemen pemberitaan luar yang terbukti sering didalangi musuh negara, Sin Chew melakarkan wajahnya sebagai sebuah akhbar pemusnah negara.

Dalam kancah kontroversi bersabit kematian misteri Setiausaha Politik anggota DAP, Teoh Beng Hock dua hari lepas, Sin Chew dengan lantang bangkit menentang establishmen kerajaan, walhal sebagai sebuah rangkaian akhbar yang bertanggung-jawab, organisasi tersebut sepatutnya patuh kepada prosedur dan etika kewartawanan.

Jika Sin Chew, melalui editornya mudah sekali menyamakan skandal McCarthy di Amerika pada tahun 1950an dengana episode terbaru di Malaysia ini, apa pula dengan keadaan di Malaysia beberapa tahun dulu apabila Sidek Ghouse, Abdullah Majid dan Abdullah Ahmad didapati bersekongkol dengan elemen dan sel-sel komunis di Malaysia?

Senada dengan episod tersebut akhbar yang mempunyai kaitan dengan tokoh-tokoh tersebut tidak pun bangkit menyergah kerajaan. Mereka maklum akan sikap dan keterlanjuan rakan mereka itu, tetapi pendekatan yanag mereka ambil lebih berhemah berbanding apa yang dilakukan oleh Sin Chew sejak kematian Teoh.

Sila selami ‘undertone’ rencana editorial Sin Chew di bawah ini, yang diterbitkan semalam dalam konteks etika kewartawanan dan undang-undang di Malaysia.

 

Editorial Sin Chew Daily

Oleh Tay Tian Yan

 

Kejadian Teoh Beng Hock terjun dari bangunan membunuh diri sungguh menghairankan. Yang nyata pelbagai persoalan tidak terjawab bersabit Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia (MACC).

Yang disoal siasat Ean Yong Hian Wah, tetapi pejabat Lau Weng San pula digeledah. Individu lain yang terlibat dalam siasatan termasuk Teresa Kok, Elizabeth Wong, Hannah Yeoh, Cheah Wing Yin dan Edward Lee Poh Lin.

Tentunya MACC mempunyai kuasa untuk menyiasat. Tetapi persoalannya: Adakah suruhanjaya itu menggunakan kuasa dengan wajar?

Mengambilkira ‘kebetulan’ bahawa semua yang terbabit dalam penyiasatan terdiri daripada  ADUN Pakatan Rakyat ─ dan semuanya Cina ─ maafkan saya kerana perlu menyatakan sesuatu. Mereka ini semua wakil rakyat yang bersih di kaca mata pengundi.

 Sesiapa saja yang mengenali mereka tahu kehidupan mereka sederhana. Mereka kuat bekerja. Contohnya, Elizabeth Wong, dia bukan seorang hartawan tetapi sekadar menanggung pinjaman bank dan kad kredit.

Atau mungkin juga pihak MACC mengatakan siasatan dilakukan semata-mata berdasarkan maklumat yang diperolehi tanpa ada apa-apa hubungan dengan kedudukan dan latar belakang  politik seseorang.

Tetapi, mengapa setelah begitu banyak sekali maklumat diperolehi, termasuk yang diketahui umum serta menimbulkan kontroversi, tidak menggerakkan MACC bertindak? Contohnya, adakah MACC mengambil sebarang tindakan terhadap isu ‘Istana Khir’? pernahkah mereka menyiasat, menggeledah atau menyoal siasat? Atau apakah  kerana kes-kes berprofil tinggi perlu disiasat secara senyap, sehingga ianya lenyap daripada ingatan orang ramai?

Penyiasatan kes-kes seharusnya dikendalikan berdasarkan prioriti dan keseriusannya. Saya tidak nampak apa-apa pun yang begitu mendesak untuk menyiasat para wakil rakyat Pakatan.

Tentunya tidak ada sesiapa pun yang dapat mempastikan tindakan MACC bermotifkan politik. Mereka berkata apa yang telah mereka lakukan telah menimbulkan pelbagai teka-teki di kalangan umum, selain mencetuskan keresahan di kalangan tokoh-tokoh politik pembangkang.

Ini mengingatkan saya kepada McCarthyism di Amerika Syarikat pada tahun 1950an. Tindakan nekad pihak berkuasa telah menimbulkan keresahan politik serta panik di kalangan orang ramai. Seorang tokoh politik  ekstrem Republikan berhaluan kanan, Joseph McCarthy ketika itu telah memperalatkan sentimen anti-komunis semasa Perang Dingin dengan menghebahkan kononnya kerajaan Amerika Syarikat diancam bahaya setelah dibolos beratus perisik komunis. Keadaan tersebut menakutkan Washington dan rakyat Amerika.

Dengan sokongan tokoh-tokoh berhaluan kanan, dia menubuhkan Jawatankuasa Rakyat Bukan Amerika (Un-American House Committee) dan seterusnya menyiasat, menuduh, membuat tuduhan palsu dan menganiaya mereka yang berhaluan kiri termasuk tokoh politik, para diplomat, cerdik pandai dan tokoh seni semuanya atas nama keselamatan negara.

Senarai hitamnya termasuklah George Marshall, Robert Oppenheimer (pakar fizik) dan pelakon Charlie Chaplin. Setengah daripada mereka ini dipenjara, manakala yang lain pula membunuh diri.

Semasa McCarthy berkuasa Amerika Syarikat diselubungi ketidakadilan dan kedurjanaan sehingga masyarakat Amerika tidak tertahan lagi dengan apa yang terjadi lantaran mereka bangkit menentang. Justeru itu, kerajaan dan Kongres berganding tangan menjatuh dan membawanya ke muka pengadilan. McCarthy akhirnya terpaksa mengembalikan semula keadilan dan menebus kembali maruah negara.

Peristiwa bersejarah itu menyedarkan kita bahawa pemerintah tidak berhak menyalahgunakan kuasanya untuk menyekat kebebasan politik dan melanggar hak asasi manusia di atas nama keselamatan negara.

Sejak MACC ditubuhkan telah timbul pelbagai kontroversi. Nama baiknya tercemar. Kini suruhanjaya itu perlu menjelaskan kepada orang ramai apa yang menyebabkan Teoh Beng Hock membunuh diri!

1 comment:

Anonymous said...

Ajenda itu adalah ajenda yang kita semua tahu akibat contoversi dan kejadian yang berlaku di persada politik semenjak 2008.
Kalau nak sebut satu persatu nanti kena gam.
Ccukup lah sekadar mengambil pelajaran daripada konon keterbukaan olih PEM yang mengantikanTDM.
Bapa keterbukaan sudah memberi jalan dan lampu hijau kapada semua puak dan piahk untuk cari jalan bantai pekara pekara yang sensitive.
Pade saya Sin Chew ni membuat rumput kering pada musim mata hari cerah.
Tukang kipas.
Dan juga menjual gunting dan juga kain selimut.
changkat lobak.
arjuna waspada.