Friday, June 12, 2009

Pembohongan & Tohmahan berleluasa


Saban hari kita mendengar dan membaca pelbagai dakwaan yang sebahagian besar (jika tidak kesemuanya) pembohongan belaka.

Mungkin timbul persoalan dalam pemikiran orang ramai kenapa tidak sesuatu tindakan keras diambil oleh pihak berkuasa untuk menangani keadaan ini?

Jawapannya bukan begitu mudah kerana pada dasarnya penipuan memainkan peranan penting dalam politik, terutama sejak kebelakangan ini.

Dengan pembukaan 'frontier' baru dalam bentuk internet, pelbagai kaedah negatif ditiru dan diteladani oleh aktivis dan pembangkang - kebanyakannya dicontohi daripada strategi yang digunakan oleh negara-negera blok komunis abad yang lalu.

Lebih ketara digunakan ialah strategi kotor politik di Amerika Syarikat seperti yang diamalkan semasa revolusi sayap kanan yang dicetuskan oleh Nixon dan diketengahkan oleh Reagan - strategi yang disemarakkan oleh kebencian sosial. Renungkan: apakah sebabnya seluruh wilayah selatan Amerika Syarikat beralih memeluk ideologi Republikan selepas era hak asasi awam (civil rights era?).

Dan di Malaysia dewasa ini pembohongan berleluasa di seluruh pelusuk internet. Strategi yang diamalkan begitu licik kerana elemen yang paling utama dalam strategi ini ialah supaya mereka yang melakukannya bermati-matian mempertahankan kononnya pembohongan mereka itu benar belaka. Dan apabila berhadapan dengan fakta, mereka akan terus menyatakan pembohongan. Kunci kepada strategi ini ialah kesediaan untuk berbohong dan berbohong berkali-kali hingga dipercayai oleh orang ramai.

Jika keadaan begitu rakus dikuasai pembohongan, apa yang bakal berlaku seterusnya ialah anarki dan ketidaktentuan sosial/politik. Inilah yang sedang kita hadapi. Walaupun Mac 8 2008 telah berlalu dengan penghakisan ketara sokongan terhadap BN, namun apa yang nyata, parti itu masih pihak yanag sah memegang tampuk kerajaan setelah diberikan mandat dan kepercayaan rakyat.

Pemberian mandat dan kepercayaan bererti kita mempercayai kewibawaan kerajaan dan institusi-institusi yang diberada di bawahnya. Oleh yang demikian, apa yang telah diputuskan, seperti keputusan mahakamah perlu dipatuhi. Inilah demokrasi.

Dan sekiranya segala-galanya dipersoalkan; mahkamah, polis dan segala tindakan kerajaan diperlekehkan, apakah erti mandat yang diberikan?

Kepercayaan itu penting. Tanpa kepercayaan segala-galanya akan musnah setelah dirundung pelbagai kebimbangan.

Ini membawa kita kepada tuduhan melulu terhadap Ketua Polis Negara dan Peguam Negara Abdul Gani Patail. Kedua-dua mereka telah dibersihkan daripada dakwaan bersabit pemalsuan dalam kes konspirasi politik seperti yang didakwa Anwar Ibrahim. Ini perlu dihormati. Jika tidak apa lagi pilihan kita? Apakah orang Melayu/Islam rata-rata jahil dan korup belaka hinggakan tiada satu pun yang telus dalam kehidupan mereka? Mustahil. Kita mempunyai conscience. Punyai suara hati.

Sama juga dengan tohmahan terhadap PM Dato' Seri Najib. Jika nak dihitung tuduhan melulu terhadap dirinya di internet, tak terkira. Tetapi apa yang pasti, tiada siapa pun yang tampil kehadapan untuk benar-benar membuktikan kesahihan tuduhan mereka.

Para anarkis ini menangguk di air keruh. Mereka mengambil kesempatan daripada kesempitan pemikiran pengikut mereka dan sebahagian besar orang ramai yang tidak bermaklumat.

Kini fikir dan fikirkan lagi keadaan ini. Apakah pemimpin dan kerajaan Malaysia begitu pincang hinggakan segala-galanya buruk belaka? Jika anda mempercayai ini, jelaslah anda hanya memperagakan bentuk singkat minda sendiri. Bermuhasabahlah.

No comments: