Monday, May 25, 2009

Dakwaan Aminah: SPR mahu kaji bukti terlebih dahulu




Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji bukti-bukti yang akan dikemukakan oleh calon Bebas, Aminah Abdullah berhubung dakwaannya ditawarkan ganjaran oleh wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menarik diri daripada bertanding di Penanti.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya perlu meneliti setiap bukti yang diberikan sebelum membuat sebarang keputusan lanjut mengenainya.

"Kita akan kaji dulu apa bukti-bukti yang beliau akan berikan, kita perlu pastikan kedudukan sebenar perkara ini mengenai apakah tawaran-tawaran yang dimaksudkan serta siapa yang terlibat.

"Perkara ini akan dirujuk kepada penasihat undang-undang parti," katanya kepada mStar Online.

Abdul Aziz berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Aminah yang akan melaporkan mengenai tawaran yang diterimanya itu kepada SPR sebagai badan pengurus pilihan raya untuk mengambil tindakan susulan.

Aminah akan membuat laporan tersebut di pejabat SPR Pulau Pinang di Komtar esok.

Pagi tadi Aminah mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama wakil PKR yang cuba menawarkan ganjaran kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 sebagai ganti rugi dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Ditanya sama ada penyertaan calon PKR, Mansor Othman akan terbatal jika SPR mendapati dakwaan Aminah itu benar, Abdul Aziz berkata perkara tersebut tidak dapat diputuskan buat masa ini.

"Kita tak boleh ramalkan apa-apa lagi, kita perlu teliti dahulu sebelum buat keputusan," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan untuk merujuk kes berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Tengoklah dulu macam mana nanti, kalau perlu kita rujuk mereka (SPRM) juga," katanya.

dari Mstar


2 comments:

ORANG KAMPUNG said...

bro.. ada salinan ke?.nak tgk betul ke tak?

Muhammad said...

Pengajian Kitab bersama Sheikh Muhamad Fuad Kamaluddin(Ahli Majlis Fatwa N.Sembilan),

Hari ini di Surau Kemensah Heights
Muslimin & Muslimat semua dijemput hadir,

Tarikh : 26 MEI 2009 (SELASA – HARI INI)
Masa : Lepas Solat Maghrib & Bacaan Ratib Al-Haddad
Tempat : Surau Kemensah Height, belakang Zoo Negara.

Sebarang pertanyaan sila hubungi En. Maznor di talian 019 662 3826.

http://pondokhabib.wordpress .com