Friday, April 3, 2009

Najib Rasmi PM Ke 6


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib,55, mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pukul 10:12 pagi tadi.


Sehingga 9.30 pagi tadi, selain anggota Kabinet dan jemputan khas, antara mereka yang hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pagi semalam, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri keenam.

Ia diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Najib di hadapan Seri Paduka Baginda akan diadakan di Istana Negara.

Semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Tuanku Mizan untuk menyerahkan surat melepaskan jawatan Perdana Menteri, selaras dengan proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang dirancang sebelum ini.

Najib, yang mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, turut menghadap Seri Paduka di Istana Negara, selepas istiadat menghadap oleh Abdullah pagi tadi.

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Oktober 2003.

Menurut atur cara sempena upacara mengangkat sumpah yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, selepas upacara di Istana Negara ini, Najib dijadual ke Masjid Negara untuk solat Jumaat dan menziarah pusara ayah beliau di Makam Pahlawan, di perkarangan masjid itu.

Pada pukul 4 petang, Abdullah dengan rasminya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib dalam satu upacara di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Lewat petang, Najib akan pulang ke kediaman beliau di Jalan Duta di sini untuk majlis tahlil serta doa selamat dan akan ke udara untuk berucap di seluruh negara melalui RTM pada pukul 8.10 malam.


-mstar-

No comments: