Friday, March 6, 2009

Mahkamah Tinggi dengar kes liwat, Anwar kemuka rayuan


Peguam kepada Anwar Ibrahim, Sankara Nair ketika ditemu ramah wartawan di luar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini. 


Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23 di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, Anwar, 62, boleh dipenjara sehingga 20 tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau kini bebas dengan ikat jamin seorang penjamin sebanyak RM20,000.

Selepas tujuh bulan menjadi perhatian, kes liwat Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perkara tersebut kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.

Anwar, yang dituduhkan meliwat Mohamad Saiful Bukhari Azlan, di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara 26 Jun lalu, tiada di mahkamah ketika keputusan diumumkan.

Sebelum Mohamad Zabidin mengumumkan keputusannya, beliau bertanya kepada peguam yang mengetuai pasukan pembelaan, Sulaiman Abdullah sebab Anwar, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Sulaiman berkata, Anwar dikecualikan daripada hadir kerana prosiding hari ini adalah hanya untuk kajian semula dan hal itu seterusnya disokong oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden.

Sulaiman memberi jaminan bahawa Anwar akan hadir apabila kes itu disebut semula di Mahkamah Sesyen Selasa ini.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan Selasa ini untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen, sekali gus menetapkan tarikh perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakimannya, Mohamad Zabidin berkata, Hakim Mahkamah Sesyen S.M Komathy Suppiah telah terkhilaf dalam memutuskan sijil pemindahan kes yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai tidak sah.

Katanya, Abdul Gani hanya menjalankan fungsi pentadbiran dengan menandatangani sijil tersebut dan bukan menjalankan fungsi penghakiman atau separa-penghakiman.

"Oleh itu, beliau bukan melaksanakan fungsi kehakiman atau separa kehakiman. Beliau sematamata menjalankan tugas pentadbiran yang ada dalam kuasanya dan yang perlu dilaksanakannya sendiri," katanya.

Mohamad Zabidin berkata, selain laporan polis yang dibuat oleh Anwar, tidak ada keterangan lain yang menunjukkan bahawa pengeluaran sijil pemindahan itu didorong oleh elemen berat sebelah.

Beliau berkata, Mahkamah Sesyen tidak ada bidang kuasa untuk menentukan sama ada sijil itu sah atau tidak dan tindakan memutuskan sijil itu sebagai tidak sah sekaligus menandakan yang Komathy telah membuat satu perintah pengisytiharan.

"Perintah perisytiharan oleh beliau bererti membatalkan keputusan pihak pendakwaan agar kes itu didengar di Mahkamah Tinggi sedangkan ia hanya boleh diperoleh menerusi perintah certiriori," katanya.

Berhubung jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes itu, Mohamad Zabidin berkata, hal itu perlu dilihat daripada segi Anwar diber jaminan tidak akan dianiaya dan siasatan serta perbicaraan terhadapnya dijalankan secara adil mengikut undang-undang dan prosedur.

Anwar sebelum ini mempertikaikan kesahihan sijil pemindahan kes itu dengan alasan Abdul Gani tidak sepatutnya menandatanganinya kerana beliau sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berhubung dakwaannya yang Abdul Gani memalsukan keterangan dalam insiden "mata hitam" yang dialami Anwar 10 tahun lalu.

Sementara itu, salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan tersebut, namun terpaksa menerimanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan esok bagi semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Pada 7 November lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, S.M. Komathy menolak permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas memutuskan sijil untuk memindahkan kes yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail adalah tidak sah.

Berikutan itu, pendakwaan memfailkan semakan terhadap keputusan itu pada 10 November atas beberapa alasan antaranya tindakan Abdul Gani menandatangi sijil itu hanyalah sebagai memainkan fungsi tadbir dan bukannya memainkan fungsi kehakiman atau kuasa kehakiman kerana pendakwa raya bukannya menghakimi apa-apa pertikaian di antara pihak-pihak.

1 comment:

Anonymous said...

Perlembagaan Persekutuan dibawah Fasal/Article 145(3) sememangnya jelas memberikan kuasa budibicara kepada Peguam Negara dalam hal Pendakwaan. Budibicara dan kuasanya disahkan oleh banyak kes-kes (dulu lagi sehingga sekarang) yang telah diputuskan oleh Mahkamah Federal iaitu mahkamah tertinggi di Persekutuan Malaysia. Maka kuasa budibicara Peguam Negara tidak lagi perlu dipersoalkan.

Peguam Negara juga bertindak sebagai pendakwaraya dan dalam banyak hal Timbalan Pendakwa Raya dan Penolong Pendakwa Raya mempunyai juga kuasa yang terdapat pada Pendakwa Raya. Namun ada sesetengah kuasa hanya khas untuk kegunaan peribadi PendakwaRaya antaranya ialah memindahkan kes (seksyen 418A Kanun Prosedur jenayah)yang walaupun Mahkamah Rendah mempunyai bidang kuasa menentukannya, memandangkan minat orang ramai (high profile case) dan oleh kerana PendakwaRaya sendiri yang akan melakukan pendakwaan tersebut, adalah wajar kes didengar diMahklamah Tinggi sesuai dengan martabat dan kedudkan Peguam Negara yang juga merupakan sebagai Pendakwa nombor satu negara.

Filosofnya mudah, kedudukan dan martabat nya melayakkannya contohnya tinggal ditempat hotel 5 bintang atau naik kapalterbang business - jika tidak, jatuh lah standard beliau sebagai Peguam Negara. ini sekadar perumpamaan sahaja.

Mahkamah Sesyen memang mempunyai bidang kuasa mendengar kes yang tidak membawa hukuman mati dibawah Akta mahkamah Rendah 1948, maka kes liwat dibawa seksyen 377B sememangnya boleh didengar dimahkamah Sesyen. namun itu tidak bermakna Mahkamah Tinggi tidak boleh ambil kes itu kerana Mahkamah Tinggi lebih berkuasa dan lebih luas bidangkuasanya dibawah COurts of Judicature Act berbanding majistret dan Tuan hakim mahkamah Sesyen.

Tuan hakim mahkamah Sesyen dan Tuan majistret tidak dipanggil "Yang Arif" berbanding Hakim Mahkamah Tinggi.

Maka sekarang mudah kita nampak rasionalnya kenapa kuasa diberikan kepada Peguam Negara memindahkan kes diMahkamah Tinggi sesuai dengan kedudukan dan martabat Peguam Negara itu sendiri.

Pendakwaraya mempunyai kuasa luas dalam hal pendakwaan dan budibicaranya tidak tertakluk kepada budibicara Perdana Menteri. Peguam Negara memegang jawatan diatas perkenan/ lesen Yang DiPertuan Agung bukan atas perkenan/lesen Perdana Menteri. Maka kenyataan PM bahawa Peguam Negara sendiri tidak akan terlibat dalam pendakwaaan Dato Seri Anuar sebenarnya tidak mengikat Peguam Negara kerana PM tiada kuasa terhadap Peguam Negara.

Bahawa Peguam Negara mempunyai suatu laporan polis terhadapnya bersama IGP Musa Hassan atas tudohan Dato Seri Anwar bahawa mereka `mengada-adakan' keterangan terhadap kes liwat yang lalu terhadap Dato Seri Anwar adalah isu berbeza dan tiada kaitan langsung dengan kuasanya melakukan pendakwaan terhadap Dato Seri Anuar. Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan itu sendiri secara jelas memberikan Peguam Negara kuasa Pendakwaan, hujah "legitimate expectation' peguam En Sulaiman tidak boleh dipakai kerana suatu doktrin estoppel tidak boleh mengatasi suatu peruntukkan undang-undang yang jelas apatah lagi kuasa yang telah dianugerahkan dibawah Perlembagaan Persekutuan - Undang2 Tertinggi diMalaysia.

Sebab sebetulnya atau alas an saya mengatakan Tuan hakim Komathy silap mungkin berbeza dengan hakim mahkamah Tinggi namun sememangnya keputusan Tuan Hakim Mahkamah Sesyen Komathy silap/ lemah kerana kuasa memindahkan kes ke mahkamah tinggi memang didalam kuasa peribadi Peguam Negara. Apahal pula beliau tidak boleh tandatangan sijil perpindahan kes tersebut?

Apa yang perlu pihak lawan menekankan ialah samada hakim boleh bertindak tidakberbelah pihak bukan samada Peguam negara berpihak atau tidak. Sememangnya jika dia yang mendakwa, maka tentunya Peguam Negara berpihak disebelah pendakawa melawan pihak OKT.

Saya tidak faham kenapa pihak OKY/lawan beriya-iya mempertikaikan sijil pindah kes ke mahkamah tinggi yang sememangnya Peguam Negara mempunyai kuasa menandatangani.

Prof Madya Dr Abdul Rani Bin Kamarudin
Pensyarah Undang2 IIUM