Monday, March 23, 2009

Anwar 'Hero' boneka




Oleh Ralph Dannheisser
Koresponden Fail Khas Washington


Washington – Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang dipenjarakan sebanyak dua kali di negara sendiri selepas penentangan dasar kerajaan, telah mendapat penghormatan sebagai “Muslim Democrat of the Year” atau “Muslim Demokrat Tahunan” dari Center for the Study of Islam and Democracy (CSID) di Amerika.

Anwar Ibrahim, yang digambarkan sebagai “hero pada masa ini”, dalam persidangan CSID ke-6 pada 22 April berkata, setiap negara di dunia Muslim mesti menyemai demokrasi versi domestik.

“Dorongan pendemokrasian .. mesti datang daripada Muslim sendiri. Kenapa mesti proses tersebut didorong oleh Amerika Syarikat atau Eropah atau rantau lain untuk perkara tersebut?” dia menyoal.

Anwar Ibrahim pertama kali dipenjarakan selama 2 tahun pada awal 1970-an selepas menyokong protes kumpulan petani. Dia dipenjarakan sekali lagi pada 1998 selepas dipecat oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Mahathir Mohamad, dan menjalani hukuman penjara selama 6 tahun di atas apa yang dikatakannya sebagai tuduhan rasuah dan liwat yang direka-reka.

Dia kemudiannya dibebaskan pada September 2004 selepas tuduhan liwat digugurkan, dan sekarang merupakan sarjana residen di St. Anthony’s College, Oxford University.

Dalam ceramahnya di CSID, Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa demokrasi tidak mudah dipertahankan di negara Muslim. Tentulah, katanya, golongan autokrat mempertahankan pemerintahan Islam yang mengerikan.

“Ianya bukan Islam tetapi proses eksploitasi faktor ketakutan untuk menghalang pendemokrasian dunia Muslim,” katanya.

Memandangkan sokongan Amerika Syarikat terhadap demokrasi di negara - negara Islam, dan sudah tentu di seluruh dunia, Anwar Ibrahim mencadangkan tindakan itu telah mengundang syak wasangka kepada sesetengah pihak kerana “banyak tempat di dunia Muslim masih lagi melihat Amerika Syarikat angkuh dengan kuasa.”




Walaupun terdapat kritikannya terhadap beberapa dasar-dasar Amerika , dia berkata, “Walau apa pun kesilapannya, Amerika Syarikat telah menjadi penyokong demokrasi paling kuat di seluruh dunia, tanpa mengira tempat di mana suara kebebasan masih lagi kaku dan bisu.”

“Mari kita membentuk satu resolusi untuk menentang bukan sahaja ekstremisme dan keganasan tetapi pemerintahan kuku besi dalam semua bentuk penyamaran, ” katanya.

Gelaran “hero” diberikan kepada Anwar Ibrahim datang daripada Lorne Craner, Presiden International Republican Institute (Institut Republikan Antarabangsa) dan bekas Penolong Setiausaha Negara Untuk Demokrasi, Hak Asasi Manusia dan Buruh.

Gelaran itu diperkuatkan lagi oleh Timbalan Pengerusi CSID, Antony Sullivan, yang menamakannya sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai “jiwa yang hebat”.

Lorne Craner, yang berucap di dalam persidangan CSID pada tahun 2003, banyak bercakap mengenai gerakan besar-besaran terhadap demokrasi sejak daripada itu.

“Pada awal 2003, sesiapa di antara kita yang percaya bahawa kebebasan dan demokrasi akan datang kepada dunia Muslim akan dianggap sebagai seorang yang pelik,” kata Craner. “terdapat satu perdebatan yang keterlaluan...tentang kesesuaian Islam dan demokrasi”

“Sesiapa yang masih mempercayai ia tidak boleh berlaku di Timur Tengah telah terlena dalam masa dua tahun kebelakangan ini,” katanya, dengan merujuk kepada pilihan raya terbaru di kawasan Iraq dan Palestin dan kemajuan di mana-mana tempat di rantau tersebut.

Di Lubnan, usaha tersebut telah mempercepatkan perlucutan kawalan Syria, “kami menyaksikan peristiwa yang sekali lagi dilihat mustahil, hanya beberapa bulan lepas,” kata Craner.

Craner menekankan pandangannya bahawa “demokrasi tidak akan berjaya kecuali kesemua ahli masyarakat menyertainya.”

“Wanita tidak boleh diabaikan dalam ruang politik dan mesti mampu menyertainya sebagai ahli penuh dalam kehidupan politik negara mereka,” katanya. "Usaha khas perlu dilakukan untuk membawa golongan muda, yang menjadi sasaran utama pengganas, ke dalam proses demokrasi", tambahnya.

“Kita telah melihat pencapaian awal. Apa yang kita perlu sekarang adalah untuk berada di dalam rancangan untuk bergerak lebih ke hadapan,” kata Craner, dengan menyatakan bahawa semua ini bermakna untuk memastikan pembuat dasar Amerika memfokuskan kepada demokrasi di dunia Muslim dan terus menyokong Muslim yang komited kepada perubahan demokratik di negara mereka.

Dipetik dari AIDC

(The Washington File produk Biro Program Maklumat Antarabangsa, Jabatan Negara Amerika Syraikat. Laman web : http://usinfo.state.gov )

No comments: