Friday, January 2, 2009

Isu orang India diperalatkan pemimpin politik muflis idea


KEDANGKALAN memahami sejarah negara menjadi antara sebab segelintir rakyat negara ini sanggup melakukan tindakan membabi buta di luar lunas budaya Malaysia tanpa sedikit pun memikirkan sensitiviti kaum lain yang bukan saja telah berkorban malah bersedia menyerahkan sebahagian hak mereka demi memastikan perpaduan kaum terus utuh dan semua kaum dapat menikmati kehidupan dalam suasana damai.

Dakwaan segelintir kaum India yang kononnya berasakan mereka ditindas dan tidak lebih daripada wayang kulit yang didalangi sekumpulan ahli politik muflis.

Berbanding dengan rakan mereka di Fiji, Uganda, Kenya, Zimbabwe, kaum India di negara ini seharusnya bersyukur kerana berada di sebuah negara yang kaum pribuminya begitu pemurah dan paling bertolak-ansur. Mereka bukan saja diberikan pelbagai keistimewaan dari segi peluang pekerjaan, malah di bidang pendidikan dan ekonomi ada kalanya mereka lebih terkehadapan berbanding orang Melayu.

Seawal tahun 1816, kaum India berpeluang memasuki sekolah yang mana Penang Free School dibuka dan kelas Tamil ditumpangkan di situ. Dengan wujudnya Malacca Free School, VI, King Edward antara 1826 dan 1906, kelas Tamil juga diwujudkan. Pada 1850, Anglo Tamil School diwujudkan di Melaka. Malah hampir di setiap estet, sekolah Venekular Tamil diwujudkan bagi menampung kaum India yang tinggal di sekitar ladang.

Malangnya bagi kaum peribumi, hanya pada tahun 1856, iaitu selepas 40 tahun kaum lain menikmati kemudahan, barulah dua sekolah Melayu diwujudkan dengan serba kekurangan sekadar membasmi buta huruf. Kaum India boleh meneruskan pendidikan hingga ke peringkat Overseas School Certificate yang kemudian boleh menyambung pelajaran ke King Edward Medical College ataupun ke Raffles College malah boleh meneruskan pendidikan ke Britian atau ke Australia, sedangkan pelajar Melayu hanya ke peringkat darjah empat.

Terkecuali Malay College yang ditubuhkan pada 1905, peluang pelajar Melayu hanya terbuka pada 1930 apabila dasar British membenarkan pelajar Melayu ke sekolah Inggeris. Itu pun terhad kepada segelintir pelajar di bandar dan daripada keluarga elit. Tidak hairanlah, antara 1919 hingga 1937 hanya 15 peratus pelajar Melayu di sekolah Inggeris berbanding 35 peratus India dan 50 peratus Cina. Fakta begini seharusnya difahami sebelum melakukan tindakan melulu dan membabi buta.

Penjajah British mengenakan pelbagai jenis peperiksaan bertujuan menyekat pelajar Melayu ke peringkat lebih tinggi seperti Peperiksaan Memasuki Sekolah Menengah, Junior Middle Certificate, Overseas School Certificate dan Queen School Certificate yang hanya mampu dicapai oleh pelajar di bandar besar yang majoritinya Cina dan India. Rata-rata keluarga mereka bertugas dengan pentadbir British atau pun menjadi peniaga.

Bagi pelajar luar bandar terutama dari negeri Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan serta Johor, peluang yang ada hanya di madrasah yang banyak ditubuhkan selepas 1906 oleh golongan muda seperti Syed Syeikh Al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin yang peluang kerjanya begitu terhad. Akibatnya jurang ekonomi antara kaum pendatang dan orang Melayu menjadi begitu ketara. Ini ditambah pula dengan dasar British yang tidak membenarkan pembabitan Melayu dalam industri menanam getah dengan berbagai-bagai sekatan serta pengwujudan pelbagai akta termasuk Akta Tanah Rezab Melayu yang bertujuan memastikan Melayu terus tinggal di kampung menanam padi yang mana hanya cukup untuk kegunaan sendiri.

Dasar membenarkan penubuhan Sekolah Venekular Cina dan Tamil pada peringkat Sekolah Rendah oleh Penjajah British adalah sikap tolak ansur yang tidak dilakukan di mana-mana negara lain. Hanya pada tahun 1958 selepas 142 tahun kaum Cina dan India menikmati peluang ke peringkat menengah, barulah Sekolah Menengah aliran Melayu pertama diwujudkan iaitu Sekolah Alam Shah pada tahun 1963 dan hanya pada tahun 1968, kumpulan dari aliran Melayu pertama keluar dari Universiti Malaya.

Untuk rekod juga, hanya pada tahun 1967 selepas Institut Teknologi Mara (ITM) ditubuhkan barulah orang Melayu mendapat peluang ke peringkat yang lebih tinggi, selepas 151 tahun kaum Cina dan India yang berasakan mereka ditindas menikmati peluang pendidikan tinggi. Tidak hairan, antara tahun 1964 dan 1970 hanya 119 siswazah Melayu lulus dari Fakulti Sains Universiti Malaya berbanding kaum Cina dan India. Seharusnya mereka yang menggelar diri mereka profesional ini lebih sensitif dengan fakta sebegini daripada membuat tuduhan melulu tanpa bukti.

Dasar tolak ansur orang Melayu juga telah memberi peluang kepada kaum India untuk mendapat suara di Parlimen walaupun peratus kaum India tidak sampai pun 10 peratus. Seawal pilihan raya pertama pada tahun 1955, walaupun kaum India hanya meliputi 3.9 peratus daripada pengundi berdaftar dan kaum Cina hanya 11.2 peratus, pemimpin Melayu atas dasar berkongsi kuasa telah memperuntukkan 15 kerusi kepada kaum Cina dan dua kerusi kepada kaum India daripada sejumlah 52 kerusi yang dipertandingkan, walaupun orang Melayu mampu menang tanpa berkongsi kuasa kerana mereka menguasai 84.2 peratus kuasa mengundi.

Ini berterusan sehinggalah pada pilihan raya lalu di mana kaum India menang di tujuh kerusi Parlimen dan 14 DUN yang majoriti Melayu termasuklah wakil MIC yang bercakap di Parlimen baru-baru ini mengenai kaum mereka dipinggirkan tanpa menyedari beliau sendiri menang di kawasan majoriti Melayu. Atas dasar tolak ansur dan kerjasama yang wujud begitu lama juga pengundi Melayu di Ijok sanggup membiarkan calon Melayu kalah di Ijok dan memejam mata untuk mengundi calon MIC. Apakah ini bukan pengorbanan. Inikah yang di panggil 'pembersihan kaum'?

Dalam bidang ekonomi juga, kaum India lebih terkehadapan. Malah empat orang India terkaya di Malaysia memiliki jumlah kekayaan tiga kali ganda lebih banyak daripada 10 orang Melayu daripada jumlah 40 orang terkaya di Malaysia, sedangkan salah seorang dari yang terkaya itu, ayahnya hanyalah seorang kerani FELDA, satu-satunya agensi yang ditubuhkan oleh Tun Abdul Razak Hussein untuk orang Melayu.

Pendapatan Purata Bulanan Isi Rumah antara kaum juga menunjukkan nisbah kaum India lebih tinggi berbanding Melayu iaitu 1.27:1 atau sebanyak RM3,456 bagi kaum India berbanding RM2,711 bagi kaum Bumiputera. Kadar kemiskinan tegar di bandar kaum India juga jauh lebih baik berbanding Bumiputra iaitu 0.2 bagi India dan 0.7 Bumiputera, tetapi di luar bandar kadar kemiskinan Bumiputra 3.3 peratus berbanding kaum India hanya 0.5 peratus.

Seperti kata pepatah, 'Di mana bumi di pijak di situ langit di junjung', maka untuk mengeluar perkataan seperti 'penghapusan kaum' amat keterlaluan bagi sebuah NGO yang kononnya didukung golongan terpelajar apatah lagi di dalam masyarakat di mana adat dan budaya masih menjadi pegangan penting.

No comments: