Wednesday, October 22, 2008

Rais: ada ahli UMNO mahu duit, bukan pemimpin yang baik...


"Politik wang atau korupsi politik tidak selesai sebab ia sudah menjadi budaya di dalam Umno sekian lama. Cuma tak ramai yang mahu mengaku perkara ini berjalan. Lebih baik kita mengaku dan rakyat menghukum kita bersama-sama supaya orang ramai dapat melihat parti politik ini bersih dari amalan rasuah ataupun tumbuk rusuk dan penggunaan wang secara berleluasa.

Pemilihan UMNO pada Mac depan diharap tidak dijadikan seperti tender terbuka dengan pembida tertinggi mendapat jawatan dalam parti melalui amalan politik wang.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sehingga kini amalan politik wang masih belum dapat dibanteras kerana ia telah berakar umbi, sekaligus menjadi budaya dalam parti.

"Saya kira mereka yang menyumbang (politik wang), kalau begini lebih baik Umno itu adakan sistem tender, siapa yang lebih tinggi dia jadi ketua. Kalau begitu umno ambil duitnya, siapa yang banyak duit buat bidaan, kan jadi bahan ketawa, tetapi hal macam ni kena dibincang," katanya.

Menurut beliau, antara kekangan utama dalam membanteras gejala itu ialah ketiadaan bukti kerana pihak yang terlibat cukup licik dan licin memainkan peranan mereka.

"Masalahnya ialah bukti. Bukti orang memberi cukup sukar sebab pihak-pihak ini memainkan peranan licik dan licin. Dalam masa tempoh orang tidur, masa tempoh orang tak sedar tidak dapat diambil gambar, tidak dapat diambil tindakan sebab buktinya tidak ada tapi dalam undang-undang baru Akta Pencegahan Rasuah, saya dapati hal ini dapat diatasi sekiranya laporan daripada pihak-pihak berkenaan ada," katanya.

Beliau juga berkata, cadangan supaya sistem kuota dikaji semula atau dihapuskan masing-masing mempunyai kebaikan dan keburukan tertentu.

"Kalau tak hapuskan pun, mungkin bilangan yang terhad dikenakan tapi pada pandangan lain pula, kalau langsung tak ada syarat, ia mungkin disertai oleh beribu calon," katanya.

Umno jelas Rais, tidak mempunyai kebolehan yang cukup untuk memantau dengan rapi amalan politik wang, justeru adalah lebih wajar sekiranya ia diserapkan di bawah bidang kuasa undang-undang negara.

"Yang terbaik mungkin kita boleh lihat sahabat-sahabat kita dari MCA dan Gerakan. Mereka tidak ada syarat yang ketat tetapi secara dasarnya, mereka bebas dari semua amalan ini.

"Saya mungkin silap tetapi saya percaya ketelusan ialah guru yang baik dan kita perlu mengajar diri kita menerusi pengalaman yang lepas, apatah lagi pengalaman yang lepas itu tidak berada dalam keadaan yang baik," katanya.

Dipetik dari BERNAMA

No comments: