Tuesday, August 26, 2008

Kata-kata sebagai senjata


Akhbar online The Malaysian Insider menyorot penggunaan kata-kata sebagai senjata sepanjang kempen pilihanaraya kecil di Permatang Pauh.

Di satu perhimpunan di Seberang Jaya Anwar Ibrahim tidak segan-segan menyelitkan perkataan-perkataan 'bangang', 'bahlol', 'bodoh', 'celaka', dan 'sial.'

Sementara itu di satu lagi perhimpunan, Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyifatkan Anwar sebagai gila kuasa, munafik dan pembelot.

Kata-kata ini yang jika diucapkan di lain tempat mungkin boleh menaikkan kemarahan, tetapi dalam konteks Permatang Pauh hanya dikatakan dituju kepada masyarakat Melayu.

Inilah wajah pertarungan yang berlarutan sepanjang waktu berkempen di Permatang Pauh – kata-kata kesat, peribadi dan penuh emosi semata-mata bertujuan meraih undi orang Melayu. Dengan jangkaan Cina dan India akan mengundi Anwar, orang Melayu yang berada di atas pagar memainkan peranan penting dalam penentuan ini.

Anwar dikatakan jarang mengguna kata-kata sedemikian sebelum ini, tetapi telah menukar corak dalam penyampaian ucapannya sejak beberapa hari lalu.

BERNAMA melaporkan alasan Anwar menggunakan perkataan-perkataan tersebut kerana 'orang di Permatang Pauh lain sikit.' Dia memberitahu orang ramai (termasuk kanak-kanak) yang hadir di ceramahnya bahawa stail tersebut perlu. 'Orang di sini tak boleh cakap secara lemah lembut. Orang takkan faham. Nak bagi orang faham kenalah cakap macam ni.'

Bagaimanapun, di ceramah lain beberapa hari kemudian Anwar memohon maaf kepada hadirin kerana menggunakan bahasa kesat.

No comments: