Thursday, August 14, 2008

Apakah dosanya monyet-monyet ini?


Persatuan Penduduk Medan Damansara di Kuala Lumpur begitu terkejut dengan tindakan membunuh monyet-monyet di kawasan itu oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Walaupun masalah monyet sedikit sebanyak memang memeningkan sebahagian besar penduduk di Medan Damansara, namun cara menanganinya baru-baru ini tidak setimpal.

Apakah dosa makhluk Allah ini hinggakan perlu ditembak menggunakan peluru hidup?

Apakah kesalahan haiwan ini apabila terpaksa berkeliaran di seluruh pelusuk kawasan setelah hutan kediaman mereka dicerobohi dan dibangunkan untuk di bina perumahan mewah untuk manusia?

Manusialah yang menyebabkan haiwan ini menjadi masalah kepada penduduk. Jika boleh difahami hati monyet-monyet itu tidak mungkin mereka sengaja menyelongkar tong-tong sampah, mencuri buah-buahan daripada pokok-pokok di kawasan rumah atau memasuki dapur untuk mencari makanan.

Tidak, bukannya banyak sangat bilangan monyet ini...hanya sekitar seratus saja, tetapi cara pendekakatan yang di ambil pihak berkuasa amat keterlaluan.

Saya yang membesar di kawasan Lorong Setiapuspa tidak pernah terasa kehadiran monyet-monyet itu sebagai masalah besar sangat. Arwah ibu saya dan kami sekeluarga pernah bertahun-tahun memberi makanan dan air apabila monyet-monyet yang kelaparan datang 'bertandang' ke rumah.

Berbanding masalah monyet, masalah yang lebih besar di kawasan Medan Damansara ialah ancaman tanah runtuh akibat projek lereng bukit di situ yang menjadi kontroversi sejak kebelakangan ini.

Apa rasa anda jika sejurus selepas peristiwa menembak monyet-monyet tersebut dengan kejam menggunakan peluru hidup di atas alasan kehabisan peluru pelali, anda melihat anak-anak monyet berlumuran darah menjerit kesakitan sebelum menghembuskan nafas akhir? Apakah kita begitu kebal hinggakan tiada langsung deria belas-kesihan sesama makhluk tuhan?

Sebagai pihak yang bertanggung-jawab melindungi haiwan, Jabatan Perhilitan tidak sepatutnya mengambil jalan mudah seperti ini...

No comments: