Saturday, February 16, 2008

Mengapa PAS kuburkan agenda Islam Melayu?


Dipetik dari blog Analisis Malaysia

Sifir politik PAS adalah mudah. Seperti yang disebutkan oleh presiden parti itu, Dato' Seri Abd Hadi Awang, PAS ingin menang 40 kerusi parlimen. Kalau PAS menang sebanyak itu, ada harapan Abd Hadi menjadi Ketua Pembangkang. Untuk menang 40 kerusi, PAS mesti berkawan dengan semua parti-parti pembangkang. Dalam istilah pengurusan, ia disebutkan perkongsian atau "partnership". Sifir politik PAS mengatakan bahawa secara sendirian, PAS tidak ada harapan menang. Untuk berkawan dengan semua parti pembangkang, PAS perlu "bercakap" dengan bahasa yang difahami mereka.

Parti pembangkang yang dikuasai oleh pemimpin-pemimpin Cina iaitu DAP cukup menyampah dengan slogan "negara Islam" dan "hudud" yang dijaja oleh PAS sejak dulu. Karpal Singh pernah mencabar PAS melangkah mayatnya jika PAS ingin menegakkan negara Islam. Sebab itulah hubungan antara PAS dan DAP tidak berlaku sejak dahulu. Masing-masing melihat "perkongsian" antara kedua-dua parti itu sebagai satu liabiliti, bukannya aset. PAS sedar hal itu. Bagaimanapun, kalau mahu berkawan dengan DAP, parti PAS perlu mengorbankan "negara Islam" dan "hudud". Bagaimanapun PAS tahu ia tidak boleh secara terbuka menolak "negara Islam" dan "hudud". Tindakan gelojoh itu akan menimbulkan penentangan politik yang kuat dalam PAS. Dalam berhadapan dengan konflik itu, datanglah Dato' Seri Anwar Ibrahim memberikan jalan keluar.

Nasihat Anwar, perjuangan PAS tetap sama, cuma jangan tonjolkan "negara Islam" dan "hudud" kepada DAP. Diamkan saja soal itu. Sebaliknya cari istilah lain yang serasi dengan DAP. Kalau PAS boleh berbuat begitu, Anwar boleh jadi orang tengah dalam perkongsian antara PAS dan DAP. Pemimpin kedua-dua parti tidak perlu berjumpa. Nanti perjumpaan itu dieksploitasikan oleh Barisan Nasional, khususnya UMNO. Biar Anwar yang jadi broker. Akhirnya, PAS setuju mendengar nasihat tersebut. Anwar yang sewaktu berada dalam UMNO dianggap musuh, kita dilihat oleh PAS sebagai penasihat yang baik. Kehadiran sahabat baik Anwar, Dato' Kamaruddin Jaafar sebagai Setiausaha Agung PAS, memudahkan parti itu menerima Anwar sebagai orang tengah.

Hasil maufakat itulah, maka PAS bersetuju untuk mendiamkan isu "negara Islam" dan "hudud". PAS tidak lagi bercakap soal itu. Sebaliknya, PAS cuba menonjolkan isu "negara kebajikan" sebagai jawapan kepada pelbagai masalah rakyat. Bagaimana nak wujudkan negara kebajikan tak perlu diberitahu sekarang. Nantilah apabila PAS berkuasa nanti. PAS sudah berkuasa di Kelantan, dan dulunya di Terengganu. Adakah Kelantan dan Terengganu sudah menjadi "negeri kebajikan?" Ahh, susah menjadikan Kelantan negeri kebajikan kerana kerajaan pusat yang dikuasai oleh Barisan Nasional tidak memberikan peruntukan besar kepada negeri itu. Nantilah apabila PAS membentuk kerajaan pusat, ia akan jadikan Malaysia "negara kebajikan". Oppss, bolehkah PAS membentuk kerajaan kalau hanya menang 40 daripada 222 buah kerusi parlimen?

PAS tidak perlu memberikan jawapan itu. Dalam politik, jawapan tidak penting. Banyak ahli politik yang pandai bercakap, tetapi tidak ada jawapan. Yang penting dalam politik ialah mengelirukan orang dan akhirnya dalam kekeliruan itu mereka mengundi PAS. Bagi pemimpin PAS, "negara kebajikan" tidak lebih dari satu gimik politik. Mustahil untuk PAS membentuk kerajaan dengan hanya 40 kerusi. Jadi, PAS boleh berjanji bulan dan bintang kepada pengundi. Itu tidak menjadi masalah kerana PAS tahu ia tidak akan memerintah dan tidak perlu menunaikan janji-janji tersebut.

Yang penting ialah menang. Nak menang, mesti dapat sokongan DAP. Nak menang, mesti dapat sokongan orang Cina. Nak menang, mesti dapat sokongan orang India. Untuk dapat sokongan DAP, orang Cina dan orang India, PAS mesti berhenti cakap soal "negara Islam" dan "hudud". PAS perlu kuburkan "negara Islam" dan "hudud" untuk menang 40 kerusi parlimen.

Persoalannya ialah, adakah PAS faham perasaan pengikutnya di kalangan Melayu kelas menengah, Melayu di kampung dan Melayu di pondok-pondok dan sekolah agama apabila ia mengkuburkan agenda "negara Islam" dan "hudud"? Mungkinkah mereka akan mentalkinkan PAS dalam pilihanraya umum ke 12 ini? Tunggu dan lihat!

No comments: