Saturday, February 16, 2008

Anwar Ibrahim Faktor Penentu PRU 12?


 

Dipetik dari blog Analsis Malaysia

Strategis. Sekiranya ada satu perkataan yang dapat menggambarkan Dato' Seri Anwar Ibrahim, itulah perkataannya. Anwar memang berminat main catur politik. Berbeza dengan seorang lagi bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam yang selesa memegang pelbagai jawatan di sektor korporat, Anwar memilih untuk kekal dalam politik. Dia tidak mahu bertanding dalam pilihanraya, sebaliknya memilih peranan sebagai "kingmaker". Sebagai "kingmaker", Anwar meletakkan dirinya di atas semua parti politik. Malah, dia meletakkan dirinya di atas Perdana Menteri, hatta semua pemimpin politik. Dia ingin menjadi penentu.

"Sumbangan" Anwar "menyatukan" pembangkang memang diketahui. Tanpa Anwar, PAS dan DAP masih bercakaran. Sekarang PAS dan DAP sudah boleh berkawan, walaupun dalam proses itu mereka menjadi bagaikan lembu dicucuk hidung oleh Anwar. Itu tidak penting kepada mereka. Yang penting, mereka tidak menjadi penghalang kepada impian kejayaan satu sama lain. Memang diketahui bahawa PAS dan DAP cukup berhajat untuk satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional. Mereka berpendapat lebih mudah menang jika satu lawan satu. Oleh itu, jangan pecah undi.

Dalam UMNO, hubungan Anwar dengan beberapa orang pemimpin parti memang menjadi rahsia terbuka. Nanti laman web ini akan dedahkan siapakah petualang dalam UMNO yang berhubung dengan Anwar. Buat masa ini cukup kalau dikatakan keakraban hubungan antara Anwar dan Khairy Jamaluddin adalah bukti betapa wujud hubungan yang dimaksudkan. Peristiwa Khairy menghantar paspot ke rumah Anwar menyokong kenyataan ini. Hubungan mereka lebih dari setakat menghantar paspot.

Anwar bersandiwara apabila dia berkata Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ingin menyekat dia bertanding dengan mengadakan pilihanraya umum ke-12 lebih awal. Sandiwara yang sama dilakonkan apabila Anwar tidak layak bertanding sebagai Presiden PKR. Hakikatnya, Anwar tidak mahu bertanding dalam PRU ke-12, dan Anwar juga tidak mahu menjadi Presiden PKR. Anwar lebih besar dari Presiden PKR. Anwar is above everything else. Anwar by himself is the institution. Inilah imej yang cuba dibina oleh Anwar.

Kalau Anwar menjadi Presiden PKR, dia hanya menjadi ketua sebuah parti kecil yang hampir mati. Untuk dilihat sebagai relevan, Anwar perlu meletakkan dirinya sebagai de-facto ketua pembangkang, di atas semua parti-parti politik. Itulah sebab Anwar tidak mahu menjadi Presiden PKR. Anwar juga tidak mahu bertanding pilihanraya dan menjadi ahli parlimen biasa. Dia pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, buat apa terhegeh-hegeh di parlimen sekarang. Lagi pun kalau menjadi ahli parlimen, dia terpaksa berbahas cakap dengan Dato' Seri Najib Tun Razak, Dato' Seri Nazri Aziz atau Dato' Ahmad Zahid Hamidi. Kesemua mereka ini adalah merupakan pengikut (malah satu pasukan) Anwar sewaktu beliau dalam UMNO dulu.

Satu-satunya pilihan yang ada ialah untuk Anwar meletakkan dirinya di atas semua parti-parti pembangkang dan UMNO. Dia tidak mahu menjadi ahli parlimen, tetapi Anwar mahu menentukan siapakah yang akan menjadi ahli parlimen. Inilah permainan politik Anwar. Untuk mengelakkan Anwar terpaksa bertanding (atas desakan parti-parti pembangkang) dalam pilihanraya (dan menerima risiko kalah), maka Abdullah mengadakan pilihanraya lebih awal. Oleh itu, apabila Abdullah sekali lagi menyelamatkan Anwar dari risiko kalah pilihanraya, dan Anwar pula menguasai parti-parti politik pembangkang seperti DAP, PAS dan PKR, anda bayangkanlah apakah yang berlaku dalam senario politik negara ini. Siapakah yang akan mencucuk hidung, dan siapakah yang dicucuk hidung.

Akhir sekali persoalan yang perlu ditanya ialah adakah Anwar mampu menjadi "kingmaker" dalam PRU ke-12? Atau mungkinkah PAS dan DAP akan bersikap seperti anjing tersepit yang dilepaskan oleh Anwar Ibrahim; bukan sahaja tidak tahu berterima kasih, malah menggigit dan membunuh tuannya itu? Strategis? Fikirkanlah!

No comments: