Saturday, October 20, 2007

Polis boleh siasat pegawai dera tahanan ISA


Keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan aktivis Abdul Malek Husin dibayar RM2.5 juta, antaranya kerana didera semasa dalam tahanan, boleh dijadikan asas oleh PDRM untuk menyiasat tindakan salah laku di kalangan anggotanya yang melakukan perbuatan 'mengaibkan' itu, kata Datuk Shahrir Abdul Samad, pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Shahrir berkata tindakan itu perlu diambil sekiranya kerajaan tidak berminat untuk merayu keputusan mahkamah itu.

"Ini menunjukkan bahawa dakwaan (Abdul Malek) bahawa dia didera semasa dalam tahanan itu betul, sebabnya mahkamah telah terima dakwaan bahawa beliau telah didera semasa dalam tahanan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

"Tetapi masih ada proses rayuan. Jika kerajaan tidak rayu, PDRM perlu siasat anggota mereka yang didakwa terlibat. Ramai pegawai-pegawai yang didakwa telah menderanya, dan mahkamah telah mendapati kenyataan mereka bercanggah antara satu dengan yang lain semasa perbicaraan," kata Shahrir lagi.

Jelasnya, PDRM boleh mengadakan siasatan dalaman untuk menentukan sama ada anggota-anggota berkenaan benar-benar terlibat dalam penderaan tersebut.

"Pihak polis mesti tengok dan siasat dan ambil tindakan sewajarnya kepada pegawai terbabit jika benar mereka terlibat.

"Tapi kita mesti ingat, itu adalah kes saman, pegawai polis berkenaan hanya tampil sebagai saksi untuk memberi keterangan. Tapi kalau PDRM fikir mereka betul (dalam kes penderaan), tak apalah. Sebab bukan polis yang dibicarakan di sini," tegasnya.

Abdul Malek, yang juga bekas setiausaha eksekutif PAS, menamakan pegawai polis Cawangan Khas ASP Borhan Daud, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor dan kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada Mac 1999.

Beliau telah memohon ganti rugi RM30 juta bagi dakwaan diperlakukan dengan kejam oleh polis semasa ditahan selama 57 hari bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika menyertai perhimpunan 'reformasi' di Kuala Lumpur pada 25 Sept 1998.

Di dalam fail samannya itu, Abdul Malek mendakwa, selain ditampar tiga kali dan matanya ditutup, kepalanya juga telah dikelubung dengan sehelai kemeja T dan dipaksa menundukkan kepalanya di celah kedua-dua kakinya dalam kereta yang membawanya ke ibu pejabat polis.

Katanya lagi, beliau telah dibogelkan dalam bilik berhawa dingin dan cecair berbau air kencing dicurahkan ke dalam mulutnya, manakal alat sulitnya dipukul dan satu objek dimasukkan ke dalam duburnya.

Beliau juga mendakwa telah disuruh berdiri di depan penghawa dingin dan disimbah dengan air selama hampir sejam.

Dalam penghakimannya sepanjang 41 halaman, Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus berkata, Abdul Malek berhak mendapat ganti rugi itu kerana penahanannya pada malam, 25 Sept 1998 mengikut ISA itu adalah menyalahi undang-undang dan dilakukan secara mala fide (niat jahat).

"Perlakuan para defendan adalah tidak berperikemanusiaan, kejam dan hina, kerana plaintif (Abdul Malek) bukan sahaja ditangkap dan ditahan secara salah selama 57 hari tetapi juga turut disakiti, diaibkan dan didera secara fizikal dan mental," kata Hishamudin seperti dilaporkan.

Katanya lagi soal siasat yang dijalankan ke atas Abdul Malek di Bukit Aman adalah bersifat politik bagi risikan mengumpulkan maklumat bagi tujuan politik dan tiada kena mengena dengan kebimbangan terhadap keselamatan negara.

Shahrir bagaimanapun menolak andaian bahawa PDRM telah dijadikan ejen oleh parti pemerintah untuk menekan pengaruh parti pembangkang pada masa itu.

"Itu andaian saja, tidak dibuktikan secara asas," katanya lagi.

Jelasnya, insiden tersebut berlaku kerana negara pada masa itu dilanda krisis politik dan rusuhan berlaku hampir setiap hari selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat.

"Pada waktu itu, latar belakangnya adalah rusuhan, sebab itu sebab itu kita tengok parti Pas dan PKR menang lebih banyak kerusi dalam pilihanraya 1999 (berbanding sebelumnya), tetapi BN tetap menang undi majoriti," katanya lagi.

Dipetik dari Mstar. Oleh SALHAN K. AHMAD


No comments: