Wednesday, October 3, 2007

Penjawat awam dilarang terima hadiah Hari Raya


Penjawat awam hari ini diingatkan supaya memandang serius aspek pemberian dan penerimaan hadiah atau keraian terutama di musim perayaan, kerana ia boleh membawa kepada kesalahan berkaitan rasuah.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam satu kenyataan hari ini berkata jika dibiarkan berlaku di kalangan penjawat awam tanpa kawalan, ia boleh membuka ruang dan peluang kepada berlakunya perlakuan rasuah, apabila pemberian seumpamanya menjadi kemestian yang melibatkan urusan rasmi. Menurutnya kenyataan itu BPR menubuhkan sebuah Pusat Khidmat Nasihat Pemberian/Penerimaan Hadiah untuk membantu dari aspek nasihat bagi segala pertanyaan dan kemusykilan berhubung pemberian dan penerimaan hadiah. Pusat khidmat itu dikendalikan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Ibu Pejabat BPR di Putrajaya.

Orang ramai boleh menghubungi pusat khidmat itu dengan menelefon atau menghantar Pesanan Khidmat Ringkas (SMS) kepada 019 60 00 103 atau 019 60 00 104. Selain itu mereka juga boleh melayari laman web BPR di www.bpr.gov.my/forum/hadiah selain mengemukakan pertanyaan dan kemusykilan melalui emel di hadiah@bpr.gov.my.

BPR seterusnya mengingatkan semua penjawat awam bahawa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 seorang pegawai awam atau swasta dilarang menerima hadiah daripada mereka yang bertujuan mendapat balasan atau keistimewaan yang membabitkan tugas dan kuasanya. Penjawat awam yang ditawarkan dengan apa-apa suapan, termasuk hadiah secara rasuah dikehendaki melaporkan hadiah itu dengan segera, menurut Seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka yang disabit kesalahan didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Mereka yang suapan telah diminta atau diperolehi juga hendaklah melaporkan kepada pegawai BPR atau pegawai polis yang hampir, di mana kegagalan berbuat demikian merupakan kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Penjawat awam boleh merujuk kepada garis panduan pemberian dan penerimaan hadiah di dalam perkhidmatan awam dikeluarkan menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bil 3 Tahun 1998. Peraturan itu turut menjelaskan dalam keadaan yang menyebabkan sukar bagi seorang pegawai menolak sesuatu hadiah atau cenderamata bernilai, hadiah itu boleh diterima secara rasmi dengan syarat pegawai itu hendaklah mengemukakan satu laporan bertulis kepada ketua jabatan dengan segera untuk mendapat kelulusan sama ada boleh atau tidak menerimanya.

Kenyataan itu meminta semua ketua jabatan memberi peringatan kepada pegawai dan kakitangan jabatan dan agensi masing-masing supaya memberi perhatian kepada gejala ini, dan mereka dikehendaki melaporkan kepada BPR apabila ditawarkan hadiah yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi.

Dipetik dari BERNAMA

No comments: