Friday, September 14, 2007

Kuota pengambilan pekerja syarikat awam: MCA membela diskriminasi negatif


Dipetik dari Publius Melayu


MCA telah melahirkan kebimbangan kaum bukan Melayu akan tersisih sekiranya kuota pengambilan pekerja dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Sekurang-kurangnya dua pemimpin akar-umbi parti itu kini mempersoal dan menentang syarat kerajaan supaya syarikat-syarikat awam mendedahkan analisis sebenar nisbah kakitangan mengikut kaum.

Ahli Parlimen Kota Melaka Wong Nai Chin mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat-syarikat awam bimbang mereka akan dipaksa memenuhi kuota tersebut. Kenyataan Wong itu berbaur diskriminasi selain mendedahkan amalan selama ini di mana syarikat-syaraikat awam seringkali mengamalkan diskriminasi dalam pengambilan pekerja.

Dengan tindakan membantah dan bersuara lantang mengenai perkara ini, ia jelas sekali memberi kesahihan kepada tanggapan diskriminasi di mana calon-calon Melayu yang memohon mana-mana jawatan diketepikan untuk memberi peluang kepada yang bukan Melayu. Amalan ini berlaku kerana didorong andaian dan persepsi pincang majikan syarikat-syarikat awam bahawa calon berbangsa Melayu tidak berkebolehan dan tidak layak untuk diambil bekerja.

Juga dengan mempersoalkan perkara yang telah dikaji dan diselidik berdasarkan fakta-fakta terperinci oleh kerajaan ini, MCA seolah-olah mempertahankan pendirian asal yang sememangnya berbaur diskriminasi.

Ketua Biro Ekonomi Pemuda MCA, Datuk Henry Wong berkata sektor swasta hanya bergantung pada sumber sendiri dalam soal pengambilan pekerja, dan dalam konteks ini mereka akan hanya mengambil calon yang paling efisien dan produktif.

Apa sebenarnya yang di maksudkan oleh Ketua Biro Ekonomi MCA itu? Apakah dia membayangkan seolah-olah orang Melayu tidak setaraf daripada segi kecekapan dan produktiviti dalam sektor swasta? Tanggapan seperti ini tidak akan dapat mencorakkan agenda dan suasana pengambilan pekerja di kalangan syarikat-syarikat awam.

Lihatlah kepada realiti keadaan masakini. Sesuatu penyelesaian perlu diambil segera demi negara dan kesejahteraan semua bangsa. Perkara-perkara seperti ini akan hanya ditafsirkan sebagai diskriminasi jika seseorang itu melihatnya dari perspektif dan pandangan sempit serta korup di segi moral dalam sebuah negara seperti Malaysia.

No comments: