Tuesday, June 12, 2007

Tidak Mampu Berkhidmat: Wakil Rakyat Perlu Berundur

Baru-baru ini Presiden Institut Integriti Malaysia, IIM, Datuk Mohd Tap Salleh telah menggesa wakil rakyat atau ahli politik yang sudah tidak mampu berkhidmat kepada rakyat agar mengundurkan diri secara terhormat bagi memberi laluan kepada orang lain.

Menurutnya, berdasarkan prinsip integriti langkah tersebut amat perlu kerana wakil rakyat atau ahli politik seharusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat yang dipimpin.

Keengganan melepaskan sesuatu jawatan walaupun seseorang itu tidak lagi mampu berkhidmat bercanggah dengan peranannya dalam konteks demokrasi dan kepentingan rakyat.

Pendapat Datuk Mohd Tap memang kena pada tempat dan masa. Ini kerana Malaysia tidak dapat lari daripada mengalami anjakan global daripada segi pemikiran dan teknologi.

Kita tidak boleh terus berpegang kepada minda yang mentafsir bahawa semua pemimpin sama saja – asalkan mereka diterima rakyat sudah mencukupi untuk dipilih semula. Walaupun ini kriteria utama, tetapi pucuk pimpinan perlu peka kepada angin perubahan global yang telah membawa pelbagai perubahan.

Generasi muda begitu terbuka dan lebih agresif mempersoalkan pelbagai isu. Sikap ini adalah positif bagi membentuk masyarakat yang progresif dan seteraf dengan corak kehidupan global masakini.

Oleh itu jika seseorang wakil rakyat atau ahli politik sudah tidak lagi mampu menangani kehendak rakyat kerana tahap pengetahuan cetek dan tidak sehaluan dengan minda terkini, maka dia tidak lagi mempunyai pilihan selain memberi jalan kepada mereka yang lebih berkeupayaan.