Friday, May 18, 2007

Bangga pemimpin Melayu dari Oxford memahami hati rakyat


Saya berasa begitu bangga dan "heartwarming" apabila mendengar Raja Nazrin menolak tawaran peruntukan pembiayaan bagi majlis perkahwinannya. Setidak-tidaknya ada juga seorang pemimpin Melayu graduan dari Oxford University betul-betul menggunakan ilmu dan asahan kematangan yang diperolehi dari universiti elite itu untuk kebaikan masyarakat.

Raja Nazrin begitu peka dengan keadaan. Dalam kegembiraan meraikan berakhirnya zaman bujang, beliau tidak lupa menjalankan ibadah sedekah dengan mengadakan jamuan bagi anak-anak yatim serta masyarakat miskin.

Tindakannya ini mengingatkan kembali sewaktu saya masih menuntut di Oxfordshire. Walaupun kampus kami agak jauh dari pusat bandar Oxford, Raja Nazrin tidak berasa payah berkunjung di hujung minggu untuk makan bersama kami di dewan makan. Selain seorang rakan yang rapat dengannya, kebanyakan kami tidak menyedari bahawa dia adalah seorang putera raja. Dia hanya memperkenalkan dirinya sebagai Nazrin dari Malaysia.

Saya mengucapkan selamat pengantin baru kepada Raja Nazrin yang bukan sekadar Raja Sehari justeru perkahwinanya, malahan memang begitu wajar status berdaulat itu mendampingi personanya.

No comments: